Hormati dan sokonglah Harimau Malaya- Pau Marti

Hormati dan sokonglah Harimau Malaya- Pau Marti

KESEBELASAN utama Malaysia ketika berdepan Thailand dalam perlawanan ketiga Piala ASEAN 2024, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente mengakui dia bersama pemainnya mengharungi minggu yang sukar dalam usaha mereka memperjuangkan nasib bagi merangkul kejuaraan Piala ASEAN 2024.

Kritikan bertubi-tubi yang diterima Harimau Malaya berpunca daripada prestasi pasukan sepanjang kejohanan tersebut telah meletakkan anak-anak buah Pau Marti dalam tekanan.

Bagaimanapun, pengendali dari Sepanyol itu berharap segala kritikan yang dilemparkan perlu dilihat secara holistik mengenai situasi yang berlaku terhadap skuad Harimau Malaya.

“Seperti yang saya katakan, sudah beberapa hari yang cukup sukar bagi semua orang. Kami kehilangan lima pemain untuk perlawanan ini (menentang Thailand), pemain penting.

“Selain itu, saya rasa ramai pemain kami juga menerima kritikan atas prestasi mereka. Saya rasa ini adalah pasukan kebangsaan Malaysia. Setiap pemain yang memakai jersi ini wajar dihormati, diberi peluang dan mendapat sokongan.

“Kami berada dalam satu kejohanan yang penting dan kami memerlukan orang ramai untuk menghormatinya. Menghormati bahawa ini adalah pasukan kebangsaan Malaysia yang bermain dalam Piala ASEAN.

“Kami tahu tentang segala situasi yang melibatkan liga dan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) serta sebagainya tetapi kami berada dalam kejohanan dan kami mahu menang untuk Malaysia dan saya harap orang ramai faham akan hal ini.

“Saya harap dalam perlawanan seterusnya kami dapat sokongan ramai untuk membantu kami mara ke final,” katanya.

Peluang Malaysia melepasi peringkat kumpulan tipis memandangkan Harimau Malaya perlu mengharapkan Thailand menewaskan Singapura sebelum pasukan kebangsaan wajib menundukkan skuad The Lions itu dalam aksi terakhir, Jumaat ini di Bukit Jalil.

Mengulas mengenai kekalahan 1-0 kepada Thailand, Pau Marti enggan menyalahkan penjaga gol, Haziq Nadzli apabila gagal mengeluarkan bola dengan baik sebelum Patrik Gustavsson meledak gol pada minit ke-57.

“Ya, saya rasa kesilapan penjaga gol selalu dihukum. Adakalanya kita boleh terlepas begitu sahaja. Saya rasa Haziq bermain dengan hebat dan saya rasa tiada siapa yang lebih kecewa daripada saya mengenai kesilapan itu.

“Tetapi saya rasa kita tidak boleh menyalahkan sesiapa atas keputusan itu. Saya rasa, sudah tentu, ia boleh diterima (kesilapan Haziq). Dia seorang manusia. Dia seorang pemain bola sepak. Ia sukan yang sangat sukar dan dia membuat kesilapan seperti pemain lain juga.

“Jadi, kita hanya perlu menyokongnya dan pastikan dia tidak terlalu kecewa dengan dirinya sendiri. Cuba beri semangat kepadanya dan kami akan baik-baik sahaja,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya