PETALING JAYA: Persatuan Badminton Hong Kong sah memikat tiga jurulatih kelahiran Malaysia termasuk ketua jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen.
Selain Bin Shen, Jeremy Gan dan Loh Wei Sheng juga akan menyertai ketua jurulatih Hong Kong, Wong Chong Hann bermula pada Februari depan.
Jeremy sebelum ini berkelana ke Jepun, manakala Wei Sheng pula bertangungjawab untuk melatih perseorangan lelaki di Singapura.
Sepanjang khidmat di Jepun, Jeremy berjaya melahirkan beberapa bintang termasuk Yuta Watanabe-Arisa Higashino yang meraih gangsa beregu campuran Sukan Olimpik Paris 2024.
Sementara, Wei Seng yang sebelum ini melatih skuad Singapura berjaya melahirkan bekas juara dunia, Loh Kean Yew.
Difahamkan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mahu menyambung kontrak Bin Shen yang berakhir pada penghujung tahun ini, namun jurulatih berusia 40 tahun itu dikhabarkan menerima tawaran yang lumayan di Hong Kong.
Kelmarin, BAM mengumumkan Bin Shen bakal meninggalkan kem badminton Malaysia pada 13 Januari depan.
‘Kehilangan’ Bin Shen menyaksikan kerusi panas itu berkemungkinan bakal diisi oleh bekas jurulatih beregu campuran Persatuan Badminton Indonesia (PBSI), Herry Iman Pierngadi yang meletakkan jawatannya baru-baru ini.
Sementara itu, bekas pemain badminton kebangsaan, Tan Boon Heong hairan dengan keputusan BAM yang ‘melepaskan’ Bin Shen.
Boon Heong berkata, Bin Shen seorang individu yang hebat selepas berjaya melahirkan beberapa pasangan beregu lelaki berkelas dunia seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.
“Ramai yang ragu-ragu apabila dia menjejakkan kaki ke BAM, namun dia sudah membuktikan beliau mampu membawa kejayaan. Beliau seorang jurulatih yang bersungguh-sungguh.
“Di BAM, beliau melatih beberapa pasangan yang bagus, malah berjaya membawa menjadi juara dunia (Aaron-Wooi Yik). Sze Fei-Nur Izzuddin kini juga dalam tahap tertinggi dan semua itu kredit dan hasil didikan beliau.
“Justeru, kenapa seorang jurulatih yang bagus tidak dikekalkan? Ini yang saya tidak faham,” kata Boon Heong.