PETALING JAYA: Ketua jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah mengingatkan pemainnya agar tidak terlalu yakin dengan kemenangan memandangkan mereka masih ada baki 90 minit yang perlu ditempuhi.
Perak FC sebelah kaki ke pusingan suku akhir Piala Malaysia selepas menundukkan Kelantan Darul Nain (KDN) FC 3-0 pada aksi pertama pusingan 16 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), semalam.
Bagaimanapun, bekas penyerang kebangsaan itu tidak menolak sebarang kemungkinan apa sahaja boleh berlaku pada aksi kedua dan menggesa anak-anak buahnya memanfaatkan kelebihan tiga jaringan itu sebaik mungkin.
“Bola sepak macam-macam boleh berlaku. Saya berasa agak risau kalau pemain beraksi sambil lewa bagi menghadapi aksi kedua walaupun kita sudah dibekalkan dengan jaringan tiga gol.
“Kita belum pasti (layak ke suku akhir), mungkin kita ada kelebihan untuk melangkah ke peringkat seterusnya. Alhamdulillah, syukur apabila diberi kemenangan, tanpa bolos semula selepas empat perlawanan.
“Kita masih belum selamat kerana selepas ini kita akan bermain di Manjung dan kita belum menang pun di Manjung. Saya harap pemain tak dibuai dengan kemenangan ini. Seharusnya bekalan yang kita perolehi kita gunakan kelebihan itu untuk pamerkan aksi lebih bertenaga,” katanya.
Dalam aksi itu, tiga gol Perak FC dijaringkan Clayton Da Silveira pada minit ke-22 sebelum Azfar Fikri meledak gol kedua pada minit ke-81 dan Daniel Hakimi meledak gol ketiga menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan.
Mengulas mengenai kecederaan pemain, Yusri mengakui masih tidak dapat menggunakan khidmat Luciano Guaycochea yang mengalami kecederaan buku lali dan perlu direhatkan empat hingga enam minggu.
“Bagaimanapun, Luka Milunovic boleh diturunkan pada minggu hadapan dan saya juga mendapat perkhabaran bahawa Luiz Henrique Motta juga akan kembali beraksi,” katanya.-UTUSAN