PETALING JAYA: Beregu utama lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kini berdepan dengan misi ‘hidup mati’ untuk mengesahkan kelayakan ke Jelajah Dunia Akhir yang akan berlangsung pada 11 Disember ini di Hangzhou, China.
Ini kerana pemenang pingat gangsa Olimpik Paris 2024 itu perlu berada di kelompok empat teratas pada tiga kejohanan terakhir musim ini untuk melayakkan diri ke pertandingan terbabit.
Walaupun cabaran ini kelihatan mustahil, namun Aaron berkata, mereka perlu berusaha keras untuk mencapai peringkat separuh akhir pada Korea Masters, Jepun Masters dan China Masters 2024.
“Kami berharap dapat buat yang terbaik dalam baki tiga kejohanan ini untuk layak ke Jelajah Dunia Akhir.
“Kami sangat yakin walaupun jurang kedudukan sangat besar. Bagaimanapun, keadaan kami sangat bagus dengan Wooi Yik baru pulih dan tidak mengadu sebarang kesakitan,” kata Aaron.
Ketika ditanya mengenai potensi untuk ke kejohanan itui, Aaron berkata, beliau percaya sekiranya mereka kekal konsisten maka, peluang untuk layak ke kejohanan itu semakin cerah.
“Kami perlu belajar dari pengalaman dan sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dalam tiga kejohanan terakhir itu,” tegasnya.
Beregu lelaki No.1 negara itu kini menghuni di tangga ke-12 ranking Jelajah Dunia Akhir dengan 56,090 mata.
Mengikut format kejohanan, hanya lapan beregu teratas dengan dua wakil dalam satu negara sahaja yang memperoleh tiket ke kejohanan terbabit.-UTUSAN