PETALING JAYA: Datuk Ong Kim Swee membuat keputusan berpisah dengan Sabah FC dan melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih kelab itu apabila kontraknya tamat hujung bulan ini.
Bekas jurulatih Harimau Malaya itu yang telah membimbing Sabah selama tiga tahun berkata, beliau mahu memilih haluan berbeza dengan tugas terakhirnya adalah perlawanan pertama pusingan 16 terakhir Piala Malaysia, Sabtu ini.
Kim Swee bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut keputusannya itu walaupun Presiden Persatuan Bolasepak Sabah, Datuk Shahelmey Yahya sebelum ini mengumumkan keputusan menyambung kontraknya hingga tamat saingan Liga Super musim ini.
“Dengan rasa berat hati, saya memutuskan untuk memilih haluan berbeza dengan tidak meneruskan tugasan saya sebagai ketua jurulatih Sabah FC apabila kontrak saya tamat pada November 2024.
“Tugasan terakhir saya adalah perlawanan menentang PT Athletic pada 23 November 2024. Selama 36 bulan bersama Sabah FC bukanlah satu jangka masa yang singkat dan perjalanan ini amat luar biasa.
“Saya amat bersyukur diberi peluang untuk memimpin kelab bola sepak yang hebat ini,” katanya.
Beliau juga tidak lupa merakamkan ucapan terima kasih tidak kepada penyokong Sabah yang disifatkannya sangat bermakna kepada pasukan.
“Anda (penyokong) adalah nadi kelab ini. Sama ada di stadium atau menyokong dari jauh, sokongan anda sentiasa memberi makna besar kepada saya dan pasukan. Ini akan sentiasa saya kenang.
“Walaupun saya tidak memimpin Sabah FC lagi, saya tetap akan menjadi penyokong setia. Saya berharap dapat melihat kelab ini terus maju dan berjaya pada masa hadapan,” katanya.
Kim Swee membimbing Sabah sejak 2022 menggantikan pengendali dari Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto dan berjaya meletakkan pasukan itu antara tiga teratas Liga Super selain layak ke kejohanan AFC tahun lalu.- UTUSAN