PETALING JAYA: Sentuhan penyudah dilihat belum cukup tajam dan ia menjadi antara aspek paling penting buat Harimau Malaya sebelum menentang lawan lebih sukar iaitu pasukan ranking ke-125 dunia, India di Stadium Gachibowli, Hyderabad, Isnin ini.
Skuad kendalian Pau Marti Vicente tampak bergelut apabila terpaksa beraksi dalam keadaan padang becak sebelum menewaskan pasukan tangga ke-187 dunia, Laos 3-1 pada aksi persahabatan di Stadium PAT, Bangkok, kelmarin.
Tiga jaringan yang dihasilkan skuad kebangsaan adalah menerusi sepakan sudut pada babak pertama dan dua sepakan penalti di separuh masa kedua.
Justeru, Vicente mengakui jentera serangan Harimau Malaya perlu dibentuk lebih tajam untuk mendapatkan jaringan dan tidak mensia-siakan peluang di depan pintu gol.
“Sudah pasti kemenangan adalah penting dan saya fikir terutama pada babak kedua selepas keadaan padang menjadi lebih baik, kami mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol.
“Mungkin kami perlu tingkatkan aspek penyudah kerana kami menjaringkan gol dari sepakan sudut dan penalti. Namun, kami terlepas peluang untuk menjaringkan gol terbuka.
“Saya fikir kami perlu perbaiki perkara itu, paling kurang apabila di dalam kotak penalti kami perlu lebih berkesan dan pastikan tidak terlepas peluang,” katanya.
Harimau Malaya yang berada di ranking ke-133 dunia mendahului pada minit keenam hasil jaringan tonggak pertahanan, Harith Haiqal Adam Afkar sebelum Kydavone Souvanny menyamakan kedudukan pada minit ke-33.
Vicente kemudian melakukan pertukaran dengan memasukkan Stuart Wilkin dan Sergio Aguero pada babak kedua dan menyaksikan kedua-dua pemain itu mencetak nama sebagai penjaring apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-64 dan 83.
Kemenangan itu menyaksikan Harimau Malaya melebarkan rekod tanpa kalah berdepan Laos dalam 10 pertemuan terakhir sejak 1998 dengan merekodkan lapan kemenangan dan dua seri.
Dalam perkembangan sama, Vicente kecewa apabila apa yang dirancang dalam latihan sebelum menentang Laos tidak dapat diterjemahkan dengan baik oleh anak buahnya selepas terpaksa beraksi di atas padang ditakungi air akibat hujan.
“Keadaan padang seperti itu bagi saya mungkin lebih baik tunggu dan tangguhkan sepak mula. Namun, perlawanan diteruskan dan kami mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan padang dan corak permainan yang harus dimainkan.
“Perasaan kurang baik kerana apabila anda mempersiapkan sesuatu dalam latihan dan kemudian anda berdepan keadaan seperti ini, saya fikir amat sukar untuk bermain,” katanya.-UTUSAN