ALOR SETAR: Kapten Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Sony Norde kini hampir pasti akan meninggalkan Sang Kenari bagi menyertai kelab Indonesia, Malut United FC pada bulan depan.
Sumber dalaman pasukan memaklumkan, perbincangan antara kelab dari negara jiran itu dengan Sony dan KDA FC kini sudah berada di fasa akhir dan hanya menanti masa untuk dimuktamadkan.
Begitu pun katanya, Sony akan tetap beraksi dalam saingan pusingan 16 Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur (KL) City FC pada 22 November ini.
“Kelibat Sony menarik perhatian pengurusan dan barisan kejurulatihan Malut United ketika mereka berkunjung ke Stadium Darul Aman untuk Piala Cabaran Nusantara Ogos lalu.
“Sebelum ini pasukan itu dikhabarkan turut berminat untuk mendapatkan khidmat tonggak pertahanan dari Brazil, Cleylton Santos namun menerusi perbincangan dijalankan, hanya Sony yang bakal berhijrah ke sana,” katanya.
Sony menjadi pemain import kedua Sang Kenari yang akan meninggalkan pasukan itu setelah seorang lagi pemain tengah import, Habib Haroon menamatkan kontrak lebih awal pada Ogos lalu untuk kembali beraksi di Bahrain.
Selain Habib, KDA FC sebelum ini turut kehilangan khidmat dua penjaga golnya, Kalamullah Al Hafiz serta Fikri Che Soh yang masing-masing kini berkhidmat untuk Selangor FC serta Kelantan Darul Naim FC (KDN FC).
Sementara itu sumber sama berkata, setakat ini kalangan pemain serta kakitangan pasukan masih berdepan isu tunggakan gaji antara enam hingga lapan bulan.
Begitu pun katanya, pihak pengurusan ketika ini sedang berusaha bagi mencari sumber kewangan untuk melunaskan bayaran tersebut.
“Setakat ini, kita masih belum mendengar perbincangan antara pemain-pemain import lain dengan kelab-kelab luar. Namun kita tidak tahu apa yang akan berlaku kerana jendela perpindahan antarabangsa akan dibuka pada Disember depan,” katanya.
Dalam pada itu tinjauan dijalankan di Stadium Suka Menanti semalam mendapati Sony masih lagi menjalani latihan seperti biasa bersama rakan sepasukan lain.
Ketika ditemui, pemain berusia 35 tahun itu bagaimanapun hanya tersenyum apabila ditanya mengenai kemungkinan dia berpindah dan enggan mengulas mengenainya.-UTUSAN