Sivasangari, Eain Yow kibar cabaran Malaysia di pentas final

Sivasangari, Eain Yow kibar cabaran Malaysia di pentas final Malaysia ACE

Pemain Malaysia, S. Sivasangari menentang G. Adderly dalam aksi separuh akhir Kejohanan Skuasy Malaysia ACE 2024 yang berlansung di Pusat Membeli-belah The Curve di sini, hari ini. Gambar; MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mempunyai dua wakil yang membawa cabaran negara iaitu bintang No. 9 dunia, S. Sivasangari dan pemain No. 14 dunia, Ng Eain Yow dalam perlawanan akhir Piala Skuasy Malaysia ACE di pusat membeli-belah The Curve, dekat sini, esok.

Sivasangari yang diletakkan sebagai pilihan pertama menempah laluan ke pentas final selepas membenam cabaran pemain ke-28 dunia, Georgia Adderley dari Scotland 11-3, 11-8, 11-6 dalam masa 31 minit pada separuh akhir, hari ini.

Sivasangari berkata, dia beraksi lebih baik berdepan Adderley, hari ini, berbanding pertemuan mereka berdua, dua minggu lepas.

“Saya rasa permainan saya, hari ini, lebih berdisiplin dengan strategi yang telah saya atur.

“Dia seorang pemain yang cukup gemar berlari dan tidak mudah menyerah kalah, jadi, saya berusaha keras untuk kekal berdisiplin selagi boleh serta memastikan perancangan saya semua menjadi,” katanya ketika ditemu bual selepas perlawanan berakhir.

Menurut Sivasangari, hari ini, dia berpeluang bermain di depan penyokong sendiri dan ia merupakan satu pengalaman yang sangat hebat.

“Saya berharap ramai yang datang menyokong saya, esok dan saya pula dapat mempamerkan persembahan yang baik,” ujarnya.

Bagaimanapun, harapan untuk menyaksikan pertembungan sesama sendiri di pentas akhir tidak menjadi kenyataan selepas seorang lagi wakil Malaysia, Rachel Arnold yang menghuni ranking ke-20 dunia tewas kepada pemain No. 10 dunia, Amina Orfi 10-12, 9-11, 6-11 dalam masa 45 minit.

Perlawanan akhir, esok, dijangka berlangsung sengit dengan Sivasangari berdepan juara remaja dunia, Amina, 17, yang diletakkan sebagai pilihan kedua.

Pemain Malaysia, Eian Yow Ng ketika bersaing menentang pemain India, Abhay Singh dalam pusingan separuh akhir lelaki Kejohanan Skuasy Malaysia ACE 2024 yang berlansung di Pusat Membeli-belah The Curve di sini, hari ini. Gambar; MUHAMAD IQBAL ROSLI

Sementara itu, pada separuh akhir lelaki, Eain Yow mengetepikan cabaran pemain ke-58 dunia dari India, Abhay Singh 11-5, 11-4, 7-11, 11-4 dalam masa 49 minit.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu bakal berdepan ujian getir menentang pilihan pertama, Youssef Soliman dari Mesir, selepas pemain No. 11 dunia itu menewaskan rakan senegara, Youssef Ibrahim 11-8, 8-11, 11-9, 8-11, 11-6 dalam aksi yang berlanjutan selama 1 jam 35 minit.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya