ALOR SETAR: Nasib menimpa pegawai dan pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC terus menjadi perbualan hangat peminat bola sepak tempatan selepas masalah tunggakan gaji mereka masih belum menemui titik noktah.
Sehingga kini, difahamkan tunggakan gaji skuad Sang Kenari dianggarkan mencecah sehingga lapan bulan sekali gus memberi kesan besar kepada kehidupan seharian barisan pegawai dan pemain kelab berkenaan.
Hilang sabar dengan situasi yang melanda, hampir separuh pemain kelab tersebut memboikot perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia menentang Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Darul Aman, kelmarin.
Dalam perlawanan berkenaan, pengendali KDA FC, Zafuzi Zain terpaksa membuat percaturan saat akhir selepas beberapa pemain utama tidak mahu beraksi selain skuad Hijau Kuning hanya memiliki seorang pemain simpanan.
“Pada sesi taklimat sebelah petang, semua pemain ada bersama tetapi sebelum sesi memanaskan badan di stadium, segelintir pemain memberitahu mereka tidak mahu beraksi untuk perlawanan ini.
“Saya terkejut, tidak menyangka ini akan terjadi kerana segalanya berlaku pada minit-minit akhir. Tetapi kami kemudiannya berbincang dengan beberapa pemain setuju untuk diturunkan dan itulah yang kita gunakan dalam perlawanan bertemu KL City.
“Selain 11 pemain di padang, kami cuma ada seorang pemain bawah 23 tahun sebagai simpanan. Saya hanya bertawakal tetapi perancangan Allah nyata lebih sempurna dengan kami akhirnya berjaya memenangi perlawanan ini,” katanya
Untuk rekod, ini bukan kali pertama pemain utama KDA FC memboikot perlawanan selepas mereka melakukan perkara yang sama ketika aksi Liga Super menentang KL City FC selain turut memboikot sesi latihan pasukan sebelum ini.- UTUSAN