KUALA LUMPUR: Seperti dijangka Sabah FC mudah melangkah ke suku akhir Piala Malaysia selepas menyingkirkan PT Athletic FC 7-0 secara agregat.
Selepas menang besar 4-0 pada perlawanan pertama, aksi kedua pusingan 16 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, sebentar tadi, Sabah FC menang 3-0.
Dalam perlawanan timbal balik itu, PT Athletic berjaya memberikan cabaran kepada The Rhinos hingga menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada babak pertama.
Tidak panik dengan situasi itu, Sabah bangkit untuk meledak tiga gol pada babak kedua untuk menjadi pasukan pertama yang mengesahkan tempat ke suku akhir.
Gol pertama Sabah hadir menerusi sepakan penalti pada minit ke-63 ekoran terjahan yang dilakukan Abdul Latiff Suhaimi ke atas Farhan Roslan di dalam kotak penalti.
Peluang keemasan itu tenang disempurnakan oleh Darren Lok untuk membuka jaringan pertama perlawanan sekaligus beri kelebihan besar buat Sabah FC.
Memasuki minit ke-72, Sabah FC seakan berjaya mematikan sisa perjuangan pasukan lawan apabila menambah gol kedua menerusi Stuart Wilkin sebelum Joao Pedro meledak gol ketiga pada minit ke-80.
Di peringkat suku akhir, Sabah FC akan menanti pemenang antara Penang FC ataupun Kuching City.- UTUSAN