PETALING JAYA: Peta Hala Tuju F:30 yang dilancarkan pada 31 Oktober 2018 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu dilihat secara holistik dan bukannya berdasarkan pencapaian semasa skuad remaja kebangsaan.
Selepas skuad bawah 16 tahun (B-16) dan bawah 19 tahun (B-19) gagal dalam kempen kelayakan Piala Asia 2025, banyak pihak yang beranggapan pelan yang di rangka badan induk bola sepak negara itu sudah gagal dan tidak menepati sasaran.
“Kita tidak boleh membuat penilaian hanya bersandarkan kepada prestasi kedua-dua pasukan remaja pada kempen Kelayakan Piala Asia. Apa yang boleh saya katakan, kita masih berada di landasan yang betul bersandarkan kepada beberapa pencapaian pada Fasa 1.
“Jadi untuk mengatakan Peta Hala Tuju F:30 gagal, itu tidak benar. Kita masih ada masa enam tahun lagi untuk melihat kejayaan pada penghujung tahun 2030,” kata Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram.
Pelan F:30 adalah pelan rancangan 12 tahun yang terbahagi kepada tiga pelan strategik dengan fasa pertama dikhususkan kepada usaha membina asas kukuh menerusi tadbir urus baik, persaingan serta pembangunan modal insan di samping infrastruktur.
Fasa dua (2023-2026) disasarkan untuk mendapatkan pasukan bertaraf Asia manakala fasa ketiga (2027-2030) adalah melahirkan pasukan kebangsaan bertaraf dunia.
Pada pelancaran enam tahun lalu itu, Presiden Persekutuan Bola Sepak Dunia (Fifa), Gianni Infantino dan Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa turut hadir dan menjadi saksi kepada agenda F:30.-UTUSAN