PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan, Sarjit Singh menjelaskan kedudukan pembantunya, Sohail Abbas lebih secara mobil bagi membantu mana-mana pasukan yang memerlukan khidmatnya.
Sarjit yang pernah mewakili negara beraksi di Sukan Olimpik dua kali pada 1984 dan 1992 berkata, tugas hakiki Sohail adalah bersama skuad senior bagaimanapun bekas pemain Pakistan itu turut berkhidmat untuk pasukan junior lelaki atau wanita jika diperlukan.
“Macam sekarang Sohail ada bersama skuad remaja negara kerana mereka terlibat dalam Kejohanan Hoki Remaja Asia pada 26 November hingga 4 Disember ini di Oman.
“Sohail akan menyertai semula pasukan senior pada Disember ini, jadi mana-mana pasukan boleh mendapatkan khidmatnya kerana dia bergerak secara mobil.
“Selepas membantu skuad remaja lelaki, Sohail juga akan membantu skuad remaja wanita yang bakal beraksi di Piala Remaja Asia 2024 di Oman pada 7 hingga 15 Disember ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Mengulas lanjut, Sarjit memberitahu, peranan Sohail bergerak secara mobil kerana latihan pukulan sudut penalti perlu dilakukan secara berasingan.
“Pasukan dan pukul sudut penalti berlatih pada waktu berasingan kerana ia tidak boleh diadakan serentak. Jika pasukan mula berlatih pada pukul 5 petang bermakna Sohail perlu memulakan sesinya satu jam lebih awal.
“Latihan semua pasukan diadakan di Bukit Jalil jadi tiada masalah untuk melakukannya,” katanya.-UTUSAN