SERDANG: Perak Bison bermula langkah kanan dalam saingan Sepak Takraw League (STL) Champions Cup 2024 apabila membenam STFI India Fighters dalam aksi pembukaan Kumpulan B, hari ini.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup MBSJ itu, trio Perak Bison Kritsada (tekong), Aidil Aiman Azwawi (apit kiri) dan Noraizat Nordin (apit kanan) menang straight set 15-6, 15-12.
Pada set pertama Perak Bison jelas menguasai perlawanan dengan Kritsada berjaya melakukan deretan servis menarik dan Noraizat pul berjaya merejam cantik umpanan Aidil Aiman.
STFI India Fighters yang diwakili Arun (tekong), Sorakhaibam (apit kiri) dan Yumnan Akash (apit kanan) cuba bangkit pada set kedua, namun trio Perak Bison membuktikan mereka lebih bersedia.
Perak Bison akan berdepan ujian sebenar dalam perlawanan kedua Kumpulan B malam esok apabila dijadual berdepan pasukan pilihan dari Thailand iaitu Royal Thai Airforce.
Antara nama besar yang mewakili Royal Thai Airforce dalam saingan kali ini ialah tekong berbisa Thailand, Siriwat Sakha dan perejam, Pichet Pansan selain pemain pelapis Phutawan Sopa.- UTUSAN