PETALING JAYA: Penyudah tumpul menjadi masalah besar buat Harimau Malaya selepas gagal menjaringkan gol dalam permainan terbuka ketika menang 3-1 ke atas Laos dalam aksi Persahabatan Antarabangsa Tier 1 di Stadium PAT, Bangkok, kelmarin.
Sekiranya tidak diperbaiki segera, skuad kendalian Pau Martio Vicente bakal berdepan ‘musibah’ kerana mereka akan berdepan lawan yang lebih sukar iaitu bertemu India dalam satu lagi aksi persabahatan antarabangsa pada Isnin ini di Stadium Gachibowli, Hyderabad.
Tiga jaringan ketika berdepan Laos terhasil menerusi sepakan sudut pada babak pertama dan dua sepakan penalti di separuh masa kedua dan ketumpulan penyudah itu diakui sendiri oleh Pau Marti yang melihat aspek berkenaan perlu diperbaiki dalam kadar segera.
“Sudah pasti kemenangan adalah penting dan saya fikir terutama pada babak kedua selepas keadaan padang menjadi lebih baik, kami mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol. Mungkin kami perlu tingkatkan aspek penyudah kerana kami menjaringkan gol dari sepakan sudut dan penalti.
“Kami terlepas peluang untuk menjaringkan gol terbuka, saya fikir kami perlu perbaiki perkara itu, paling kurang apabila di dalam kotak penalti kami perlu lebih berkesan dan pastikan tidak terlepas peluang,” kata pengendali dari Sepanyol itu.
Kali terakhir Malaysia bertemu India adalah pada 13 Oktober 2023 dalam perlawanan Pestabola Merdeka 2023 dengan skuad Harimau Malaya yang dibimbing Kim Pan Gon ketika itu mencatat kemenangan 4-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Malaysia sebelum ini juga pernah bertandang ke India untuk dua siri perlawanan persahabatan pada 2011 yang menyaksikan skuad Harimau Malaya bimbingan Datuk K. Rajagobal ketika itu seri 1-1 pada aksi pertama di Guwahati dan tewas 3-2 pada aksi kedua di Kolkata.-UTUSAN