PETALING JAYA: Hasrat Perak FC untuk mengutip tiga mata penuh dalam kunjungan ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) tidak kesampaian apabila diikat 1-1 oleh PDRM FC, sebentar tadi.
Kedua-dua pasukan terikat 0-0 pada separuh pertama biarpun terdapat asakan untuk mencari gol menerusi penyerang masing-masing.
PDRM FC yang dikendalikan P. Maniam terlebih dahulu berada di hadapan apabila Aremu Timothy Berjaya menanduk masuk bola hantaran lintang Safiee Ahmad pada minit ke-55.
Tersentak dengan jaringan itu, anak-anak Yusri Che Lah memperkemaskan rentak permainan dan gol penyamaan yang dicari-cari terhasil pada minit ke-67 menerusi sepakan percuma Luciano Guaycochea.
Selepas itu, kedua-dua pasukan saling melakukan asakan untuk mencari gol tambahan, namun kedudukan terikat 1-1 sehingga wisel penamat dibunyikan.
Keputusan itu menyaksikan PDRM kini berada di tangga keenam Liga Super dengan 18 mata, manakal Perak ditangga ketujuh, ketinggalan satu.-UTUSAN