KUALA LUMPUR: Pemain beregu campuran negara, Hoo Pang Ron mengakui peluang untuk mencapai tahap seperti Chen Tang Jie masih terbuka dan mampu untuk dikecapinya.
Beliau yang berusia 27 tahun dan sebaya dengan Tang Jie, sebelum ini bergelut dengan prestasi apabila kerap bertukar pasangan selepas menjadi pemain senior.
“Pada ketika ini, saya percaya masih mempunyai masa untuk mencapai tahap tersebut. Saya masih berjuang dan tidak akan memperlahankan langkah saya.
“Saya sentiasa berbincang dengan jurulatih mengenai cara untuk memperbaiki diri. Setiap perbincangan membawa kepada penambahbaikan yang saya perlukan,” kata Pang Ron.
Pang Ron yang bergandingan dengan Cheng Su Yin sejak Oktober 2023, kini semakin konsisten dan sudah mencapai tahap ranking ke-24 dunia yang mana menjadi beregu campuran kedua terbaik selepas Tang Jie-Toh Ee Wei.
Sementara itu, menjelang penghujung musim ini, Pang Ron menyatakan beliau tidak hanya berdepan lawan di gelanggang tetapi juga cabaran peribadi.
Dengan persiapan baki dua kejohanan yang terakhir musim ini di Korea dan Jepun Masters, Pang Ron perlu tampil lebih matang dan dia menyedari bahawa laluan yang mendatang bukan sekadar soal ketahanan fizikal, tetapi juga ketahanan mental.
“Semakin ramai yang mengkaji permainan kita. Jadi kita pun kena jadi lebih kreatif, tambah corak permainan dan strategi.
“Saya merasakan perjalanan kami semakin hari semakin sukar dan itu cabaran yang kami kena hadapi,” ujarnya.- UTUSAN