Mujur masih ada 12 pemain mahu beraksi - Nafuzi

Mujur masih ada 12 pemain mahu beraksi – Nafuzi

KESEBELASAN utama Kedah Darul Aman FC ketika berdepan KL CIty FC dalam perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, kelmarin.-IHSAN J|KDA FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain menyifatkan pasukan itu serta dirinya bernasib baik kerana masih memiliki 12 pemain untuk diturunkan dalam perlawanan menentang Kuala Lumpur City (KL City) di Stadium Darul Aman, kelmarin.

Menurut Nafuzi, dia juga dalam masa sama tidak langsung menyalahkan para pemain yang enggan beraksi dalam perlawanan itu berikutan pelbagai isu melanda mereka ketika ini.

Katanya, perbincangan bersama pemain sebelum itu berlangsung baik dengan dia benar-benar memahami keadaan mereka yang berdepan tunggakan gaji terlalu lama hingga dikhabarkan mencecah lapan bulan ketika ini.

“Pada sesi taklimat sebelah petang, semua pemain ada bersama tetapi sebelum sesi memanaskan badan di stadium, segelintir pemain memberitahu mereka tidak mahu beraksi untuk perlawanan ini.

“Saya terkejut, tidak menyangka ini akan terjadi kerana segalanya berlaku pada minit-minit akhir. Tetapi kami kemudiannya berbincang dengan beberapa pemain setuju untuk diturunkan dan itulah yang kita gunakan dalam perlawanan bertemu KL City.

“Selain 11 pemain di padang, kami cuma ada seorang pemain bawah 23 tahun sebagai simpanan. Saya hanya bertawakal tetapi perancangan Allah nyata lebih sempurna dengan kami akhirnya berjaya memenangi perlawanan ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

Mengulas keadaan semasa, Nafuzi dalam nada sebak berkata, beliau memahami keadaan pemain ketika ini dan langsung tidak mempunyai masalah dengan mereka yang memilih untuk tidak beraksi selain tidak adil untuk mana-mana pihak menyalahkan mereka di atas perbuatan itu.

“Saya faham situasi semasa dan tak adil untuk sesiapa pun menyalahkan pemain-pemain ini. Hanya mereka yang tahu mengenai kesukaran ditanggung dan hanya mereka saja yang faham bagaimana rasanya menghadapi semua ini.

“Jadi saya berbincang dan memberi mereka pilihan sama ada mahu beraksi atau tidak. Kalau rasa tak boleh beri 100 peratus, lebih baik tidak perlu beraksi kerana kita tak mahu hampakan penyokong yang hadir memberi sokongan,” katanya.

Tambahnya, ketika ini pasukan itu menghadapi pelbagai masalah hingga menyebabkan para pemain tidak dapat memberikan fokus sepenuhnya kepada latihan.

“Sukar sebenarnya untuk menggambarkan perasaan saya apabila kami mencatat kemenangan malam ini. Macam-macam masalah yang timbul tetapi saya tak boleh berkongsi segalanya.

“Saya anggap dugaan ini satu pengalaman dalam laluan saya menjadi jurulatih lebih baik. Saya tak fikir ada jurulatih lain pernah menghadapi situasi ini di Malaysia tetapi segala yang diraih malam ini, pujiannya harus diberi kepada para pemain,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya