Mohd. Daud sedia lepas pegangan saham KDA FC

Mohd. Daud sedia lepas pegangan saham KDA FC

PEMAIN KDA FC ketika ini difahamkan berdepan masalah tunggakan haji yang mencecah tujuh bulan.-IHSAN KDA FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman (KDA) FC mempelawa mana-mana pihak yang berminat memiliki kelab bola sepak itu untuk menghantar surat tunjuk minat atau surat tawaran secara rasmi kepada mereka.

Pemilik KDA, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, pemegang saham KDA FC tiada halangan untuk mempertimbangkan mana-mana tawaran yang munasabah serta tulen demi kepentingan dan kelangsungan pasukan.

“Berdasarkan laporan media sejak beberapa hari lepas berhubung hasrat sebuah syarikat global untuk membeli keseluruhan kepentingan dan tanggungan KDA FC, pihak kelab amat mengalu-alukan hasrat murni itu.

“Kesediaan dan keberanian untuk membeli keseluruhan pegangan saham KDA FC adalah amat dihargai memandangkan perniagaan dalam industri sukan bola sepak terlalu mencabar,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu ujar Mohd. Daud, KDA FC sehingga kini belum menerima mana-mana bantuan atau penajaan yang berimpak tinggi daripada mana-mana pihak dalam menyelesaikan kemelut serta krisis gaji yang tertunggak.

“Namun Alhamdulillah walaupun dalam serba kekurangan, pihak kelab masih mampu meneruskan operasi wajib pasukan seperti pengelolaan perlawanan di tempat sendiri mahupun tempat lawan walaupun dalam kos yang minima,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan DSAT, Datuk Seri Azizul Tandek pantas membalas pelawaan untuk membeli kelab berkenaan dan akan mengutuskan surat tunjuk minat atau surat tawaran kepada KDA.

“Kami akan mengutuskan surat berkenaan secara rasmi untuk pengambil alihan keseluruhan saham kepada pihak Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar selewat-lewatnya pada Ahad ini (esok).

“Dengan kenyataan dikeluarkan Tan Sri selaku pemilik majoriti KDA FC ini, ianya dilihat memberi harapan kepada kami untuk memiliki KDA FC dan sekaligus dapat membantu meringankan beban ditanggung beliau,” katanya.

Sementara itu, Azizul menegaskan pihak KDA FC dan Mohd. Daud diharap dapat menerima apa jua tawaran daripadanya agar dapat bersama-sama merealisasikan hasrat untuk melihat KDA FC terus bersinar.

“Semua maklum bahawa sekiranya Kumpulan DSAT mengambil alih KDA FC ini, tiada apa-apa keuntungan yang boleh diperolehi oleh pihak kami, sebaliknya kami cuma hanya ingin membantu pihak Tan Sri selaku pemilik dan penyokong setia KDA FC.

“Ini kerana, disaat tidak ada pihak yang mampu untuk mempertahankan KDA FC menghadapi situasi seperti ini termasuklah daripada pihak kerajaan negeri Kedah, kami hadir untuk menghulurkan tangan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya