Misi Jonassen bawa pulang emas LA 2028

Misi Jonassen bawa pulang emas LA 2028

Bekas jurulatih badminton Denmark, Kenneth Jonassen (kanan) dilantik sebagai ketua jurulatih perseorangan di Akademi Badminton Malaysia (ABM)- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Membawa pulang emas sulung di Sukan Olimpik Los Angeles (LA 2028) menjadi petunjuk prestasi tama (KPI) untuk ketua jurulatih perseorangan baharu, Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen.

Walaupun tugas itu kelihatan cabar, namun Persatuan Badminton Malaysia (BAM) percaya dengan kredibiliti yang ada pada Jonassen ketika membawa pemain terkemuka Denmark, Viktor Axelsen meraih pingat emas pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pemangku Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam berkata, beliau yakin jurulatih berusia 50 tahun itu mampu mengasah pemain perseorangan lelaki negara yang sedia ada untuk menjelmakan pingat itu pada temasya empat tahun sekali.

“Kami akan menunggu kedatangan beliau (Jonassen) dahulu, bagi dia membuat perancangan dengan kerjasama Rexy Mainaky (Pengarah Kejurulatihan ABM). Apa yang penting beliau mampu menggalas tugas berdasarkan rekod beliau sebelum ini.

“Kami mahu Jonassen melahirkan pemain terbaik dalam kem badminton negara dan membawa pulang pingat emas. Harapan kita memang untuk menyasarkan pingat itu di LA 2028,” kata Subramaniam kepada pemberita selepas mesyuarat ahli majlis BAM di ABM, semalam.

Terdahulu, BAM mengumumkan bekas ketua jurulatih Denmark itu sebagai ketua jurulatih perseorangan lelaki dan wanita dan akan memulakan tugasnya bermula 4 Januari 2025 dengan perjanjian kontrak selama empat tahun.

Sementara itu, Subramaniam mendedahkan beberapa calon jurulatih Asia seperti Mulyo Handoyo turut berada dalam senarai BAM, namun Jonassen menjadi calon yang sesuai selepas membantu Axelsen menjadi juara dunia pada di Glasgow, Scotland pada 2017.

“Beliau sudah berpengalaman menjadi jurulatih selama 13 tahun. Calon kita banyak dan kita ada prinsip yang melihat Jonassen sememangnya calon yang sesuai.

“Keputusan ini dibuat oleh pihak pengurusan dan bukan pada saya sendiri. Apa yang kita harap dia mampu menggalas tugasnya berdasarkan rekod yang beliau ada,” katanya.

Dalam pada itu, Subramaniam turut mengumumkan bahawa badan induk itu melantik Tan Sri Mohamad Norza Zakaria sebagai Presiden Kehormat Seumur Hidup BAM selepas mendapat persetujuan ahli majlis.

HABIS

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya