PETALING JAYA: Pengendali skuad hoki wanita negara, Nasihin Nubli Ibrahim percaya anak-anak buahnya mampu melangkah lebih jauh selepas ini berdasarkan prestasi pada Trofi Juara-juara Asia (ACT) 2024.
Dalam kejohanan berkenaan yang berlangsung di Bihar, India itu Malaysian Tigress berjaya menduduki tempat keempat, sekali gus memperbaiki pencapaian tahun lalu di carta kelima.
Dengan kebanyakan pemain skuad kebangsaan yang berusia bawah 21 tahun (B-21), Nasihin melihat banyak peningkatan dan percaya skuad wanita negara mampu melangkah lebih jauh sekiranya berusaha lebih keras.
“Secara keseluruhan, ACT kali ini kami bermain sebagai satu pasukan yang pertama kali merangkumi ramai pemain B-21. Banyak peningkatan yang dapat saya lihat terutamanya skil dan keyakinan diri.
“Saya rasa kalau kita lihat lebih jauh, kita perlu berusaha dari segi banyak perkara. Saya percaya banyak yang kita boleh dipertingkatkan dari segi kekuatan, keyakinan dan teknikal hoki,” kata Nasihin.
Kelmarin, hajat Malaysian Tigress untuk membawa pulang pingat gangsa ACT 2024 tidak kesampaian apabila tumpas 1-4 kepada pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.
Sementara itu, Nasihin turut menambah, ketiadaan pemain berpengalaman dan senior negara akibat kecederaan memaksa beliau untuk mengambil pemain muda dan yakin selepas selesai tempoh pemulihan, persembahan skuad negara akan lebih dominan selepas ini.
“Untuk pengetahuan, ramai pemain berpengalaman kami mengalami kecederaan. Selepas mereka pulih, sudah tentu saingan lebih kuat selepas ini.
“Kami barisan kejurulatihan akan membuat yang terbaik dan menjadikan ACT 2024 sebagai panduan untuk bergerak maju untuk pasukan hoki wanita negara,” ujarnya.
Untuk rekod, pencapaian cemerlang Malaysia Tigress adalah pada kejohanan edisi 2013 lalu yang mana menduduki tempat ketiga sejak pertandingan Asia berkenaan dipertandingkan pada 2010.-UTUSAN