Komen negatif netizen beri kesan kepada Ziyad

Komen negatif netizen beri kesan kepada Ziyad

ZIYAD mengakui komen negatif di media sosial memberi kesan kepada kehidupan sehariannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli mengakui komen yang dilemparkan oleh netizen di media sosial terhadap dirinya banyak memberi kesan kepada hidupnya.

Berkongsi pengalaman pahit bergelar atlet para negara, Ziyad mengakui ‘tragedi’ yang berlaku ketika temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 telah menghantui hidupnya selama beberapa tahun.

Atlet berusia 34 tahun itu sebelum ini pernah terlepas pingat emas dan rekod dunia di temasya berkenaan selepas penyertaannya diklasifikasikan sebagai DNS (tidak bermula) susulan protes yang dilakukan Ukraine disebabkan kelewatannya tiba di bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.

Ziyad berkata sejak daripada itu, dia sering melihat komen negatif yang diberikan oleh netizen sehingga memberi tekanan besar terhadap dirinya.

“Peristiwa di Jepun memang menghantui saya sehingga sekarang. Ramai orang ingatkan saya buat perkara yang tak patut. Saya selalu lihat komen orang di media sosial yang memberi peringatan kepada saya supaya jangan lambat dan macam-macam lagi.

“Apa yang berlaku bukan satu perkara yang saya inginkan. Saya menerima tekanan besar daripada mereka. Jadi, apa yang saya buat adalah saya berhenti membawa komen daripada netizen di laman sosial,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

ZIYAD ketika meraih emas pada Kejohanan Olahraga para Dunia 2024 di kobe, Jepun pada Mei lalu.

Bagaimanapun, Ziyad mengakui selepas keadaan mentalnya kembali stabil dia memberanikan diri untuk membaca komen netizen terhadap dirinya di laman sosial yang mempunyai pengikut ramai dan popular.

Katanya, dia akan mengira setiap komen negatif daripada netizen dan daripada jumlah tersebut Ziyad bertekad untuk membuktikan segala tuduhan yang diberikan kepadanya adalah tidak benar.

“Saya kuatkan diri untuk buka media sosial yang ada banyak tontonan dan komen sebab saya nak bersedia daripada segi mental. Saya akan kira berapa banyak komen yang cakap jangan datang lambat, contoh,” katanya lagi.

Ziyad tiba lewat tiga minit ke bilik menunggu telah menyebabkan dia terlepas pingat emas dan rekod dunia yang dilakukannya di Paralimpik Tokyo.

Ketika kejadian itu berlaku, pelbagai versi punca kelewatan telah dilaporkan antaranya lewat dua minit kerana menelefon ibu, kesesakan ke bilik menunggu dan hujan lebat namun ia bukan alasan yang diberikan dalam rayuan.

ZIYAD menunjukkan pingat perak yang dimenanginya pada Sukan Paralimpik Paris 2024.

Menurut jurucakap Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC), Craig Spence, rayuan Ziyad dan dua atlet lagi – Jordi Patricio Congo Villalba (Ecuador) dan Todd Hodgetts (Australia) ditolak kerana alasan diberikan terlalu lemah.

Alasan ketiga-tiga atlet itu ialah tidak mendengar pengumuman atau ia dalam bahasa yang mereka tidak faham.

Ziyad merangkul emas dengan selepas dua kali memecahkan rekod dunia dengan catatan 17.94 meter, tetapi dibatalkan berikutan bantahan Ukraine kerana lewat masuk ke bilik menunggu. Atlet Ukraine Maksym Koval diisytiharkan pemenang pingat emas.

Insiden tersebut menjadi kenangan pahit buat Ziyad malah dia tekad bangkit untuk membuktikan dia tidak mempunyai masalah disiplin seperti yang pernah dikatakan oleh segelintir pihak.

Bimbang pisan berbuah dua kali, Ziyad telah membuktikan bahawa dia tidak mempunyai masalah disiplin apabila tiba 20 minit lebih awal ke bilik panggilan di Stade de France sebelum memenangi perak dalam acara lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) baru-baru ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya