KIP bimbang aksi ‘berkarat’ menjelang GP Malaysia

KIP bimbang aksi ‘berkarat’ menjelang GP Malaysia

Kehadiran semula Khairul Idham Pawi atau lebih mesra dengan panggilan KIP ke kancah Kejuaraan Motosikal Dunia pasti membuat ramai yang teruja untuk menyaksikan Grand Prix (GP) Malaysia Petronas 2024. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Selepas lima tahun berlalu, Khairul Idham Pawi atau lebih mesra dengan panggilan KIP akhirnya kembali beraksi dalam Kejuaraan Motosikal Dunia, tetapi, kebimbangan bersarang dihatinya kerana khuatir lambat menyesuaikan diri.

Menjelang Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia, hujung minggu ini, di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Petronas, pelumba berusia 26 tahun itu bakal memacu jentera Moto2 yang kali terakhir ditungganginya pada 2019 di atas tiket jemputan (wildcard).

“Sudah tentu saya gembira, tetapi cabarannya memang agak sukar, setelah lima tahun saya tak bawa Moto2, saya pun dah lupa.

“Latihan pun tak sempat, walau apapun saya sangat bersyukur diberi peluang berlumba sekali lagi di Sepang dan terima kasih kepada Petronas kerana beri peluang untuk berlumba sebagai pelumba ‘wildcard’,” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.

Turut menemani KIP ialah Muhammad Helmi Azman yang akan tampil buat kali kedua berturut-turut, selepas tahun lalu, pelumba berusia 25 tahun itu menamatkan saingan Moto2 di tempat ke-23 daripada 31 pelumba.

Kedua-dua anak muda tersebut akan berlumba di bawah pasukan Petronas MIE Racing RW yang diterajui warga Jepun, Midori Moriwaki.

Menurut KIP, dia juga menjangkakan persaingan di dalam Moto2 sudah tentu jauh berbeza berbanding semasa eranya ketika masih bergelar pelumba tetap.

“Sudah tentu setiap tahun persembahan mereka akan meningkat, jadi, saya menjangkakan Moto2 kini jauh berbeza.

“Semasa 2019 pun, saya hanya sempat beraksi dalam tiga perlumbaan kerana selepas itu saya ditimpa kecederaan, apa yang boleh saya janjikan ialah berusaha memberikan yang terbaik dan cuba sesuaikan diri secepat mungkin,” ujarnya.

Anak jati Batu Gajah, Perak yang pernah menjuarai GP Argentina pada 2016 sewaktu beraksi di dalam kategori Moto3 ketika usianya 17 tahun itu tidak meletakkan harapan tinggi pada penyertaannya kali ini.

KIP yang kini bersaing di dalam Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) di dalam kategori Supersports memberitahu, jentera yang dipacunya di dalam WSBK jauh berbeza dari segi casis dan elektronik jika dibandingkan dengan Moto2 yang merupakan motosikal prototaip.

“Jentera yang saya guna sekarang ada dekat jalan raya, tetapi sebaliknya dengan Moto2, saya akan cuba sesuaikan diri dalam tempoh tiga hari ini, mungkin semasa sesi latihan bebas situasinya akan lebih baik,” tambahnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya