JDT dijangka 'mudah' baham Perak FC

JDT dijangka ‘mudah’ baham Perak FC

SKUAD Harimau Selatan mahu mengekalkan rekod tanpa kaah dalam aksi Liga Super ketika berdepan Perak FC, malam ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) yang masih berada dalam ‘mood’ terbaik susulan kemenangan pada saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), Selasa lalu pastinya mahu meneruskan momentum itu menjelang aksi Liga Super berdepan Perak FC, malam ini.

Perlawanan yang telah dua kali tertunda kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan di Ipoh, menyebabkan aksi itu terpaksa berpindah tempat dengan dilangsungkan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dengan Perak merupakan tuan rumah.

Bagaimanapun, skuad kendalian Hector Bidoglio dilihat tidak akan berdepan masalah dengan status sebagai pasukan pelawat kerana mereka masih segar dengan kemenangan 3-0 ke atas Ulsan HD FC dalam saingan ACLE di venue sama.

Namun, skuad Bos Gaurus juga tidak boleh dipandang rendah selepas berjaya meraih dua keputusan memberangsangkan ketika mengikat Terengganu FC 2-2 dan terbaharu dengan PDRM FC seri 1-1.

Justeru, Bidoglio enggan memandang mudah kemampuan Perak dan bersedia menurunkan kesebelasan terbaik termasuk mempertaruhkan peledak utama Harimau Selatan, Bergson da Silva yang sudah menjaringkan 16 gol dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), serta Arif Aiman Hanapi untuk merobek benteng pihak lawan.

Dalam masa sama, Bidoglio dijangka menurunkan bekas bintang Real Madrid, Jese Rodriguez bagi memberi peluang pemain itu mendapat minit permainan, selepas kali terakhir beraksi sewaktu dimasukkan pada minit ke-64 ketika menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) pada 1 November lalu.

Rodriguez turut berharap perkara sama kerana dia masih berada dalam fasa menyesuaikan diri dengan corak dan falsafah permainan skuad Harimau Selatan dan berjanji akan memberi yang terbaik jika diberi peluang beraksi.

“Saingan liga masih belum berakhir tapi kami gembira dengan prestasi pasukan ketika ini. Secara peribadi saya berasa sangat baik tapi saya percaya saya masih boleh meningkatkan lagi prestasi dan apa yang penting adalah kemenangan buat pasukan.

“Saya baru sahaja bersama pasukan dan masih lagi dalam proses untuk mendapatkan tahap kecergasan terbaik dan menyesuaikan diri,” kata Rodriguez.

JDT kini masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Liga Super dan menerajui kedudukan teratas apabila mengumpul 37 mata, hasil 12 menang dan satu seri, malah jauh meninggalkan pencabar terdekatnya, Selangor FC dengan kelebihan lapan mata.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya