JDT benam Ulsan HD 3-0 - Utusan Malaysia

JDT benam Ulsan HD 3-0

PENYERANG JDT, Arif Aiman Hanapi meraikan gol jaringannya bersama Jorge Obregon pada perlawanan Liga Juara-Juara Asia Elite menentang Ulsan HD FC di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri sebelum ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan juara Liga K1, Ulsan HD FC 3-0 dalam aksi kumpulan Zon Timur Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Tindakan pemain Harimau Selatan yang melakukan tekanan kepada pihak lawan berjaya membuahkan hasil apabila memaksa pasukan pelawat melakukan kesilapan.

Hantaran Darijan Bojanic ke belakang kepada Kim Young Gwon berjaya dirampas Arif Aiman Hanapi yang membuat larian ke dalam kotak penalti sebelum melepaskan rembatan deras ke penjuru kanan menewaskan penjaga gol, Jo Hyeon Woo pada minit kelapan.

Tersentak dengan jaringan itu, pasukan kendalian Kim Pan Gon mengatur serangan balas untuk menyamakan kedudukan dengan melakukan serangan dari kedua-dua belah sayap menerusi Gustz Ludwigson yang berjaya mencari Kim Min Woo di dalam kotak penalti, namun berjaya dikeluarkan Shane Lowry pada minit ke-11.

Biarpun bertali arus diasak lawan, pasukan tuan rumah berjaya melakukan serangan balas pada minit ke-37 menerusi hantaran lambung Juan Muniz kepada Arif Aiman, namun tandukan dilakukan pemain sayap itu tepat ke arah penjaga gol lawan.

JDT hampir menambah jaringan pada minit ke-42 hasil gerakan yang dilakukan Arif Aiman dari sayap kanan mengumpan bola kepada Oscar Arribas, tetapi rembatan yang dilakukan pemain import itu jauh melewati palang gol.

Pada penghujung babak pertama, Ulsan HD melancarkan serangan dari bahagian kanan menerusi Esaka Ataru yang melorongkan bola kepada Ludwigson, namun Park Jun Heong berjaya melakukan terjahan, mengeluarkan bola dari kotak penalti.

Bersambung babak kedua, Ulsan HD menggandakan serangan bagi memburu gol penyamaan, malangnya tidak berjaya merungkai benteng ampuh JDT.

Pada minit ke-51, Lee Chung Yong mencuba nasib apabila melakukan rembatan dari sudut sukar, malangnya bola itu meliar dari pintu gol pasukan tuan rumah.

Seminit berselang, juara baharu Liga K1 hampir mencipta jaringan penyamaan setelah rembatan kencang Yun Illok yang melepasi jangkauan Andoni Zubiarre Dorronsoro, namun sekadar singgah ke tiang gol JDT.

Kemasukan Bergson Da Silva menggantikan Jorge Obregon menambah bisa serangan Harimau Selatan dan hampir mencetak nama dalam senarai penjaring pada minit ke-60, namun rembatan dilakukan tepat ke arah penjaga gol.

Pada minit ke-67, Stadium Sultan Ibrahim sekali lagi bergema dengan sorakan penyokong setelah rembatan Arribas dari luar kotak penalti terkena kaki Bojanic lalu melambung ke dalam gawang Ulsan HD, Hyeonwoo hanya mampu memerhati bola itu menerjah jaring.

Bergson sekali lagi melakukan percubaan berbahaya ke arah gawang lawan dan memaksa Hyeonwoo bekerja keras memastikan gawang tidak lagi dibolosi, namun penyerang berbisa itu  melengkapkan kemenangan bergaya JDT apabila memanfaatkan umpanan Afiq Fazail seterusnya melepasi kawalan pemain pertahanan lawan dan melepaskan rembatan deras menewaskan penjaga gol Ulsan HD pada minit ke-88.

Pada penghujung permainan, Arif Aiman hampir menambah rekod jaringan dalam ACLE, namun sepakan lambung yang dilakukan terlalu rendah dan mampu ditepis Hyeon Woo.

Keputusan tersebut membolehkan JDT mengutip tujuh mata dalam empat perlawanan, manakala Ulsan HD kekal di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN