PETALING JAYA: Pelbagai persoalan timbul apabila Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkongsi struktur baharu yang dilihat seolah-olah melibatkan sistem pengurusan skuad Harimau Malaya yang akan digunakan dalam masa terdekat.
Berdasarkan lakaran struktur itu, kemungkinan besar perubahan besar-besaran dalam sistem pengurusan skuad Harimau Malaya akan berlaku.
Menerusi satu perkongsian di laman sosial milik bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu kelmarin, terdapat susun atur penyusunan setiap bahagian melibatkan skuad kebangsaan.
Dalam masa sama, kemungkinan besar selepas ini skuad negara akan mempunyai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), iaitu satu jawatan yang tidak pernah diwujudkan oleh mana-mana pasukan di seluruh dunia, di mana secara normal sesebuah pasukan kebangsaan diketuai sepenuhnya oleh Presiden badan induk bola sepak negara.
Perkongsian itu turut memaparkan carta organisasi beberapa posisi lain seperti Penasihat Sukan, Pengarah Teknikal, Ketua Jurulatih dan lain-lain.
Ia seperti memberi bayangan penswastaan skuad kebangsaan yang diuar-uarkan sebelum ini hampir pasti untuk dilaksanakan bagi merevolusikan pasukan Harimau Malaya.
Selain itu, difahamkan Wisma FAM sedang mengatur satu pertemuan dengan Tunku Ismail melibatkan beberapa wakil Persatuan Bolasepak Negeri (FA).
Pertemuan itu dipercayai bagi membincangkan beberapa perkara mengenai agenda bola sepak tempatan termasuk soal penswastaan skuad kebangsaan.
Antara calon awal jurulatih yang dikaitkan bakal di bawa ke dalam sistem baharu ini adalah pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain yang kemungkinan mengisi jawatan jurulatih bawah 23 (B-23) tahun negara selepas ini.
Begitupun, segala persoalan ini bakal terjawab pada awal Disember ini yang turut difahamkan satu Mesyuarat Ahli Jawatankuasa (Exco) FAM akan diadakan, di mana ia kemungkinan adalah mesyuarat terakhir bagi barisan Exco 2021-2025 sebelum mandat berakhir awal tahun depan.
Beberapa bulan lalu, Tunku Ismail sendiri pernah menulis di laman sosialnya meminta peminat bola sepak negara menunggu pada Disember ini untuk satu pengumuman penting yang akan diumumkan kelak.-UTUSAN