Gabriel mahu kekal bersama Dhabitah

Gabriel mahu kekal bersama Dhabitah

NUR Dhabitah dan Gabriel meraih emas dalam acara 3m papan anjal seirama campuran pada kejohanan terjun Terbuka Malaysia 2024 di Pusat Akuatik Kebangsaan Bukit Jalil baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas menggondol emas pada acara 3 meter (m) papan anjal seirama campuran di Terbuka Malaysia 2024, Gabriel Gilbert Daim mahu terus berpasangan dengan ratu terjun negara, Nur Dhabitah Sabri pada kejohanan antarabangsa akan datang.

Kali terakhir Gabriel-Dhabitah digandingkan pada Grand Prix (GP) Terjun FINA (Akuatik Dunia) 2017 di Gold Coast, Australia dan menang pingat gangsa dalam acara yang sama.

Atlet kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu berkata, dia berpuas hati terjunannya bersama Dhabitah, biarpun setahun tidak bertanding akibat kecederaan tulang belakang ketika persiapan ke Sukan Asia Hangzhou 2022, September tahun lalu.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan terjunan saya walaupun setahun tidak keluar bertanding. Orang ramai jangka saya lakukan lebih baik, namun kejohanan pertama saya selepas lama tidak bertanding, saya bangga dengannya.

“Saya mahu terus beraksi dengan Dhabitah selepas ini walaupun kami sudah lama tidak digandingkan bersama. Saya lihat kami berpotensi pada mana-mana kejohanan dan temasya sukan selepas ini,” kata Gabriel.

Untuk rekod, kali terakhir Gabriel bertanding adalah Kejohanan Dunia Akuatik di Fukuoka, Jepun, Julai tahun lalu dan terlepas Sukan Asia 2022 pada Oktober akibat kecederaan tulang belakangnya ketika menjalani latihan.

Sementara itu, Dhabitah berkata, dia lebih senang untuk bekerjasama dengan Gabriel, susulan masih ada keserasiannya bersama penerjun berusia 23 tahun itu untuk berlatih mahupun menghadapi kejohanan antarabangsa bersama.

“Kalau acara seirama campuran saya sangat gembira dengan Gabriel. Dengan Syafiq (Puteh) saya sudah berpasangan sebelum ini, namun dengan Gabriel saya sangat berbangga kerana beliau lama tidak bertanding.

“Saya sangat berpuas hati dan gembira menghabiskan pertandingan ini seperti dirancang. Sudah lama kami tidak berpasangan (dengan Gabriel), namun sekarang kami sama-sama kembali,” kata Dhabitah.

Dhabitah-Gabriel mengutip 242.10 mata untuk merangkul emas mengetepikan cabaran dari pasangan Indonesia, Aldinsyah Putra Rafi-Gladies Lariesa Garina yang meraih perak (230.40 mata) diikuti Max Lee-Alycia Lim dari Singapura yang membawa pulang gangsa (202.08 mata) pada Terbuka Malaysia, baru-baru ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya