Finalis Kejohanan Remaja Dunia, Low Zi Yu unggul di Kejohanan Badminton Remaja Allianz 2024

Finalis Kejohanan Remaja Dunia, Low Zi Yu unggul di Kejohanan Badminton Remaja Allianz 2024

allianz
Low Zi Yu (tengah) pada majlis penyampaian hadiah oleh bersama Sean Wang dan para pemenang lain.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua belas pemain telah dinobatkan sebagai juara Grand Final Kejohanan Badminton Remaja Allianz (AJBC) B-15 dan B-13 Lelaki dan Perempuan di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.

Kategori B-15 dan B-13 Lelaki dan Perempuan dalam edisi ketiga AJBC terdiri daripada pemain perseorangan dan beregu.

Seperti dijangka, finalis Kejohanan Remaja Dunia Low Zi Yu yang mewakili Johor, merangkul kejuaraan AJBC ketiganya menewaskan Teoh Su Mei dari Kuala Lumpur 21-10 dan 21-17 dalam perlawanan akhir perseorangan perempuan bawah 15.

Zi Yu dan alumni AJBC, Dania Sofea baru-baru ini merangkul perak di Kejohanan Remaja Dunia, mengecewakan pasangan ranking lebih tinggi untuk mara ke peringkat akhir.

Dia juga mencipta sejarah sebagai pemain termuda yang mencapai final Kejohanan Remaja Dunia.

Perlawanan akhir beregu perempuan B-15 menyaksikan A. Baavanya dan Nur Aina Maisarah dari Perak menewaskan pemain Johor S. Hasyni Devi dan N. Navina 21-14; 21-14

Perlawanan akhir perseorangan lelaki bawah 15 menyaksikan pemain Kuala Lumpur, Cheong Kai Sheng menewaskan Albee Loh dari Johor, 21-8; 8-21 dan 21-8 manakala kejuaraan beregu menjadi milik Chong Yan Cheng dan Mohamad Najib Haqimi dari Sarawak yang turut memerlukan tiga set untuk merangkul kejuaraan.

Siti Nur Aminah Abdullah dari Selangor merupakan satu-satunya pemenang berganda dalam Grand Final, mengalahkan Chong Wan Xin dari Pahang 21-16; 21-17 dalam perlawanan akhir perempuan B-13 sebelum kembali ke gelanggang untuk perlawanan terakhir hari itu bersama pasangannya Adiq Puteri Waheeda untuk menang ke atas lawan dari Perak.

Perlawanan akhir perseorangan B-13 Lelaki menyaksikan Putera Raees Rafeal dari Negeri Sembilan merangkul kejuaraan selepas lawannya dari Labuan itu menarik diri pada set ketiga manakala perlawanan akhir beregu memberi kemenangan mudah kepada pemain Kedah, Ng Chia Tin dan Putra Assolihin yang menewaskan Chong Song Yu dan Dani Syafi dari Johor, 21-12; 21-12.

Seramai 195 pemain berjaya mara ke AJBC Grand Final daripada 3,113 pemain yang mendaftar di 10 Pusingan Kelayakan di seluruh negara dari Mei hingga November 2024.

Sebanyak empat kategori (perseorangan lelaki , beregu lelaki, perseorangan perempuan dan beregu perempuan) dipertandingkan dalam kategori umur Bawah 13 dan Bawah 15 Tahun.

Pemenang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 setiap perseorangan dan RM1,200 untuk Beregu dan juga geran khas RM2,000 untuk mereka gunakan untuk perbelanjaan pertandingan masa depan termasuk yuran penyertaan, pembelian peralatan, kejurulatihan dan lain-lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad, Sean Wang berkata: “Tahun lalu, kami menjadikan pertandingan lebih bermakna dengan memberikan geran istimewa RM2,000 kepada setiap pemenang – ini adalah tambahan kepada hadiah wang yang akan mereka terima sebagai juara dalam kategori kumpulan umur masing-masing.

“Saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa kami akan memberikan geran serupa sekali lagi tahun ini kepada para pemenang.

“Badminton adalah sukan yang mahal dan kami berharap pemberian khas ini akan membantu membiayai beberapa kos pemain untuk berlatih, membeli peralatan dan menyertai kejohanan kerana pemain perlu bersaing dalam sebanyak mungkin kejohanan untuk meningkatkan permainan mereka dan saya pasti, ibu bapa akan bersetuju dengan saya dalam hal ini apabila saya mengatakan latihan dan persaingan adalah satu-satunya jalan ke hadapan.” – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN