F:30 masih belum tersasar jauh

F:30 masih belum tersasar jauh

KEGAGALAN skuad B-16 tahun negara adalam kempen kelayakan Piala Asia 2025 menimbulkan kritikan peminat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengakui kegagalan skuad bawah 16 tahun (B-16) dan bawah 19 tahun (B-19) kebangsaan pada kempen Kelayakan Piala Asia tahun ini tidak mencerminkan pencapaian keseluruhan Peta Hala Tuju F:30.

Jelas Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram berkata, kegagalan kedua-dua skuad remaja kebangsaan itu bagaimanapun menyebabkan Peta Hala Tuju F:30 Fasa 2 agak ‘terencat’ namun secara keseluruhan pelan itu masih belum tersasar.

“Kita tidak boleh membuat penilaian hanya bersandarkan kepada prestasi kedua-dua pasukan remaja pada kempen Kelayakan Piala Asia.

“Apa yang boleh saya katakan, kita masih berada di landasan yang betul bersandarkan kepada beberapa pencapaian pada Fasa 1.

“Jadi untuk mengatakan Peta Hala Tuju F:30 gagal, itu tidak benar. Kita masih ada masa enam tahun lagi untuk melihat kejayaan pada penghujung tahun 2030,” ujarnya.

Susulan kegagalan itu, Sivasundaram telah mengarahkan Sekretariat FAM untuk mendapatkan laporan daripada pengurus dan jurulatih B-16, B-20 serta Pengarah Teknikal, Scott O’Donell bagi melihat keseluruhan prestasi kedua-dua pasukan pada kejohanan kelayakan tersebut.

“Kita akan melihat hasil laporan post-mortem yang akan dibentangkan oleh pengurus, jurulatih serta Pengarah Teknikal dan selepas itu, kita akan keluarkan apa solusi dan tindakan yang boleh dibuat pada masa akan datang,” jelasnya.

Sementara itu, Sivasundaram menegaskan bahawa Peta Hala Tuju F:30 yang mula dilancarkan pada 31 Oktober 2018 harus dilihat secara holistik.

“Berdasarkan graf Peta Hala Tuju F:30 ini, sebenarnya banyak pencapaian telah dicapai terutamanya pada Fasa 1.

“Contohnya, Liga Suparimau yang diperkenalkan mulai tahun 2021 telah mendapat pengiktirafan daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) apabila memenangi anugerah bagi kategori grassroots.

“Bola sepak wanita pula mula menunjukkan petanda baik apabila pasukan Sabah berjaya mengharumkan nama Malaysia apabila layak beraksi buat kali pertama pada kejohanan Liga Juara-Juara Wanita AFC tahun ini.

“Malah, sukan futsal juga tidak ketinggalan menampakkan perkembangan positif apabila Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) Divisyen 2 julung kali dianjurkan mulai tahun ini,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya