PETALING JAYA: Ratu terjun negara, Nur Dhabitah Sabri mahu menjadikan kejohanan Terbuka Malaysia 2024 yang bermula esok sebagai pentas untuk menamatkan musim 2024 dengan pencapaian cemerlang.
Bagaimanapun, atlet Olimpik itu mengakui cabaran besar menanti skuad terjun Malaysia memandangkan kejohanan kali ini bakal disertai oleh sembilan negara termasuk New Zealand dan Jepun.
Menurut penerjun berusia 25 tahun itu, kejohanan edisi kali kedua itu akan disertai beberapa penerjun bertaraf Olimpik dari beberapa negara berkenaan, sekali gus memberikan cabaran buat atlet negara.
“Setakat ini, persiapan kami berjalan dengan lancar. Untuk kejohanan kali ini, saya akan sertai dua acara iaitu 3 meter (m) seirama campuran bersama Gabriel Gilbert Daim.
“Selain itu, saya bersama Ong Ker Ying akan menyertai acara 3m seirama wanita pada kejohanan kali ini,” kata Dhabitah.
Dalam pada itu, Dhabitah turut menjelaskan bahawa fokus beliau kali ini tertumpu kepada teknik individu.
Menurut beliau, ketepatan teknik amat penting untuk memastikan setiap lompatan dapat mempamerkan aksi yang terbaik.
“Jika kami dapat menguasai kejohanan ini, ianya sekali gus akan menjadi suntikan semangat untuk semua atlet bagi menghadapi cabaran lebih besar tahun depan,” ujarnya.
Kejohanan Terbuka Malaysia 2024 yang diiktiraf oleh Akuatik Dunia (WA) dijadualkan berlangsung bermula esok sehingga 4 November ini di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil.-UTUSAN