Beltrami, Urrestarazu ungguli Kailas Penang Skyrace 2024

Beltrami, Urrestarazu ungguli Kailas Penang Skyrace 2024

Lorenzo Beltrami (kanan) dan Lide Urrestarazu menjuarai Kailas Penang Skyrace yang merupakan hentian ke-19 bagi Siri Dunia Skyrunner® Merrell musim 2024 di Georgetown, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Jaguh Itali Lorenzo Beltrami dan Lide Urrestarazu dari Sepanyol masing-masing dinobatkan selaku raja dan ratu bukit Kailas Penang Skyrace, yang merupakan hentian ke-19 bagi Siri Dunia Skyrunner® Merrell musim 2024.

Mereka cemerlang menakluki laluan perlumbaan sejauh 42 kilometer (km) yang cukup mencabar merentasi Bukit Bendera, dengan ketinggian 2,822 meter.

Dalam kategori lelaki, Beltrami mempamer kehebatan pendakiannya untuk mendominasi perlumbaan dengan catatan masa memberangsangkan 4:17:14.

Atlet Sepanyol, Ioseba Eskudero meraih kedudukan naib juara dengan masa 4:53:31, sebelum jaguh tempatan Yusof Abdul Manan melengkapkan posisi tiga teratas dengan catatan 5:48:08, sekali gus menceriakan para penyokong tuan rumah yang berhimpun di garis penamat.

Beltrami berjaya meluaskan penguasaannya selepas rakan senegara selepas Gianluca Ghiano, yang bersaing sengit pada separuh pertama perlumbaan, terpaksa menarik diri akibat kecederaan.

“Saya berasa sangat gembira dapat menang di sini. Ini sememangnya sasaran saya apabila memutuskan untuk berlumba di sini.

“Ia sesungguhnya satu perlumbaan yang mencabar dan teknikal. Para pelumba dicabar dengan laluan berlumpur, menempuhi hujan dan beraksi dalam kegelapan.

“Gelaran ini pasti menyuntik semangat saya untuk menghadapi pusingan akhir Siri Dunia yang akan berlangsung di Valencia dua minggu akan datang,” kata Beltrami:

Sementara itu, Yusof menzahirkan rasa bangga di atas kejayaan menaiki podium dalam perlumbaan yang bukan menampilkan sahaja barisan pelumba handalan dunia, bahkan bentuk rupa bumi yang sukar.

“Meskipun beraksi di laman sendiri, perlumbaan ini adalah begitu sukar sekali. Tanjakan, rupa bumi, serta perubahan cuaca yang tidak diduga menjadikan saingan jauh lebih teknikal. Kami berdepan hujan lebat pada sebelah pagi dan pada penghujung saingan pula cuaca bertukar panas terik.

“Kesempatan untuk bertarung dengan ‘Skyrunners’ elit dari serata dunia merupakan satu penghormatan besar. Saya berterima kasih kepada semua yang terlibat, terutamanya pihak penganjur, kerana menyediakan satu platform untuk pelari-pelari tempatan beraksi pada peringkat tertinggi,| katanya.

Saingan wanita pula menyaksikan kehebatan Urrestarazu selepas dia melakukan catatan 5:16:37, mengatasi pencabar terdekatnya, Iris Pessey dari Perancis (5:25:06)

Marcela Vasinova dari Republik Czech meraih tempat ketiga dengan 5:53:57.

Urrestarazu memberitahu, kejayaan memenangi perlumbaan dalam keadaan iklim di negara ini memberikannya kepuasan tidak terhingga.

“Saya betul-betul menikmat perlumbaan ini. Berlumba dalam cuaca panas dan lembab seperti ini adalah sesuatu yang baharu untuk saya,” katanya.

Dalam pada itu, pelumba tempatan Lee Min Xiang dan Mohamad Amierul Amin Shamsul Kamal menghabiskan saingan di tempat keempat dan kelima, manakala Lim Siok Har serta Ang Yee Mei juga muncul lima pelumba terbaik dalam saingan wanita.

Kailas Penang Skyrace 2024 berjaya menarik penyertaan lebih 901 peserta dari 30 negara dengan tiga lagi kategori iaitu 21km, 10km dan 5km turut dipertandingkan bagi golongan amatur.

Penganjuran acara ini menandakan kembalinya hentian Malaysia dalam Siri Dunia Skyrunner selepas 14 tahun menyepi. – UTUSAN

KEPUTUSAN
(Lima terbaik)
Lelaki
1. Lorenzo Beltrami (Ita) 4:17:14
2. Ioseba Eskudero (Esp) 4:53:31
3. Yusof Abdul Manan (Mas) 5:48:08
4. Lee Min Xiang (Mas) 5:53:17
5. Mohamad Amierul Amin Shamsul Kamal (Mas) 6:09:45
Wanita
1. Lide Urrestarazu (Esp) 5:16:37
2. Iris Pessey (Fra) 5:25:06
3. Marcela Vasinova (Cze) 5:53:57
4. Lim Siok Har (Mas) 7:00:45
5. Ang Yee Mei (Mas) 7:04:51

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya