PETALING JAYA: Selepas cemerlang dalam tiga edisi penganjuran Liga A3 Community di sekitar Lembah Klang, Aligue Sports Industry memasang impian untuk melebarkan penganjuran liga berkenaan ke utara tanah air.
Pengarah Operasi Aligue Sports Industry, Shilachi Rizal berkata, hasrat berkenaan akan direalisasikan selepas pihaknya menerima permintaan dan maklum balas positif daripada pasukan-pasukan di sekitar utara.
“Misi kami ada memperkasa jenama liga amatur dengan platform liga yang kompetitif yang boleh bersaing ke Liga A2, seliaan Liga Bolasepak Amatur (AFL).
“Kami juga percaya, dengan wujudnya penganjuran liga sebegini, ia akan merancakkan industri bola sepak negara dan dalam masa yang sama dapat melahirkan bakat-bakat baharu untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
“Untuk tiga edisi berturut-turut Aligue Sports Industry telah berjaya menganjurkan Liga A3 Community dan saya percaya sudah tiba masanya untuk kami memperluaskan lagi penganjuran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perlawanan akhir A Ligue Champion League A3 2024, yang berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam pada Ahad lalu.
Dalam perlawanan akhir itu Baarz FC muncul Juara selepas menewaskan pasukan Obi and Friends 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti.-UTUSAN