KUALA LUMPUR: Pemain skuasy wanita negara, Aira Azman terpaksa menelan kekecewaan apabila tewas pada perlawanan suku akhir Piala Skuasy Malaysia 2024, sebentar tadi.
Pada aksi yang berlangsung di gelanggang kaca di sebuah pusat membeli belah ibu kota, Aira turun selaku pilihan keenam tumbang pada dua set pertama 4-11, 7-11 kepada pemain Scotland, Georgia Adderley.
Pemain berusia 20 tahun itu bagaimanapun, enggan mengalah sebaliknya, bangkit mengatasi pilihan keempat kejohanan terbabit 13-11.
Pada set keempat, Aira kelihatan bertungkus lumus untuk mengheret lawannya ke set penentuan, namun terpaksa akur dengan keputusan 7-11 (3-1).
Aira berkata bahawa, perancangan dan strategi untuk aksi suku akhir ini tidak mengikuti seperti yang dirancang sekali gus mengakui kesilapan mudah memberi peluang besar kepada lawannya itu.
“Saya sudah bermain dengan dia (Adderley) dan saya sedikit gugup dan semuanya menjadi bercelaru. Saya mahu keputusan menjadi 3-2 tetapi perancangan tidak berjalan dengan sempurna.
“Banyak kesilapan mudah hari ini. Itu perkara yang penting dan sejujurnya saya tidak kembali dengan baik dalam permainan,” kata Aira kepada pemberita sejurus tamat perlawanan suku akhir di sini, hari ini.
Pada edisi lalu, Aira sekadar menamatkan saingan di pusingan kedua apabila tewas kepada Rachel Arnold 3-2 (11-6, 12-10, 11-8, 5-11, 15-13). – UTUSAN