PETALING JAYA: Kakak dan adik, Aifa serta Aira Azman lepasi halangan awal setelah mengetepikan pencabar masing-masing pada pusingan pertama Kejohanan Skuasy Terbuka Singapura di Arena Sukan OCBC Singapura, hari ini.
Aifa yang menghuni ranking ke-37 dunia tidak berdepan masalah mengetepikan wakil England, Alicia Mead 11-6, 11-4, 12-10 hanya dalam masa 25 minit.
Pada pusingan kedua, pemain yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-23 tahun Disember ini akan berdepan pencabar sebenar iaitu rakan senegara, S. Sivasangari yang menghuni ranking No. 9 dunia.
Penuntut Universiti Malaya tersebut masih belum mampu mencipta kemenangan ke atas pemain wanita No. 1 negara itu dengan rekod kemenangan 4-0 berpihak kepada Sivasangari.
Kekalahan terakhir Aifa di tangan Sivasangari ialah pada suku akhir Piala Skuasy Malaysia ACE yang berakhir, minggu lalu.
Sementara itu, bekas naib juara remaja dunia, Aira membenam cabaran Kenzy Azman dari Mesir 11-5, 11-6, 12-10 dalam masa 28 minit.
Pemain yang kini berada di ranking ke-31 dunia itu bakal berdepan ujian getir menentang bintang No. 3 dunia, Hania El Hammamy yang merupakan pilihan pertama kejohanan.
Belum pernah bertemu Hania, Aira yang berusia 20 tahun perlu memanfaatkan peluang yang jarang sekali diperoleh berdepan jaguh handalan dunia dari Mesir tersebut.
Bagi Sivasangari, bertemu Aifa, hari ini, merupakan aksi pembuka buatnya di Terbuka Singapura, selepas mendapat bye di pusingan pertama.
Turut mendapat bye di pusingan awal adalah pemain No. 14 dunia, Ng Eain Yow yang menjadi wakil tunggal Malaysia dalam saingan lelaki dan anak jati Kuala Lumpur itu akan bertemu Velavan Senthilkumar setelah pemain India itu mengetepikan Leandro Romiglio dari Argentina 11-7, 11-4, 11-2 di peringkat 32 terbaik.-UTUSAN