SUBANG JAYA: Meskipun sibuk dalam persiapan menghadapi Siji Pelajaran Malaysia (SPM), pemain boling remaja negara, Adelia Nur Irwan Syazalee tekad untuk mempertahankan gelaran di Kejohanan Boling Remaja Antarabangsa All-Stars Bawah 22 Tahun (B22) 2024 di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid, minggu depan.
Pemain berusia 17 tahun itu mengakui banyak pesaing yang sengit hadir ke kejohanan berkenaan, namun beliau mah menggunakan situasin itu untuk membakar semangatnya untuk beraksi lebih baik.
“Ramai pencabar yang hebat akan bersaing pada edisi tahun ini. Jadi mereka sudah tahu gaya permainan saya. Bagaimanapun, saya akan menggunakan ia sebagai kelebihan buat saya.
“Dengan pengalaman yang saya pelajari daripada jurulatih serta rakan sepasukan saya untuk mengekalkan gelaran kejohanan ini,” kata Adelia.
Ketika ditanya mengenai persiapan menjelang SPM bulan depan, Adelia mendedahkan kejohanan itu tidak menghalangnya untuk memperoleh keputusan cemerlang.
“Kalau diikutkan kedua-duanya (kejohanan dan SPM) adalah sukar dan mencabar untuk saya, namun saya mampu mengatasinya dengan baik. Saya akan ke sekolah pada sebelah pagi dan sesi latihan pada sebelah petang.
“SPM juga penting untuk saya dengan sokongan padu daripada ibu bapa, barisan kejurulatihan dan rakan sepasukan, saya mampu memperoleh keputusan baik. Saya akan cuba berjaya dalam kedua-dua itu,” ujarnya.
Pada edisi lalu, Adelia menewaskan pemain Singapura, Althea Dang, 227-204, 264-207 pada perlawanan akhir sekali gus mahu mengulangi kejayaannya pada edisi ke-24 yang dijadualkan berlangsung pada 4 hingga 15 Disember ini.-UTUSAN