KUALA LUMPUR: Pemain badminton perseorangan lelaki No. 1 negara, Lee Zii Jia bersedia untuk kembali beraksi dengan kejohanan di Eropah sebagai sasaran menjelang Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, China, Disember ini, yang menjadi misi utamanya.
Jaguh No. 5 dunia itu yang masih belum cergas sepenuhnya sewaktu terkandas pada pusingan awal Terbuka China, bulan lalu, dijangka beraksi pada Terbuka Arctic di Finland 8-13 Oktober dan Terbuka Denmark 15-20 Oktober ini.
Selaku juara bertahan pada Terbuka Arctic dan naib juara di Terbuka Denmark, Zii Jia berkata, dia berharap dapat mengulangi pencapaian pada tahun lalu dan kehadirannya pada kejohanan itu bukan sekadar memburu keputusan, tetapi juga pengiktirafan.
“Saya sebenarnya masih lagi memantau keadaan tubuh saya selepas ditimpa kecederaan di bahagian belakang, lutut dan siku.
“Jujurnya kecederaan yang saya alami tidaklah sangat besar tetapi saya tetap menjalani latihan seperti biasa kerana sasaran saya ialah untuk beraksi pada Jelajah Dunia Akhir,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Insentif Sukan Olimpik 2024 Paris di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, semalam.
Insentif RM100,000 diterima anak jati Kedah itu daripada Pengarah Pemasaran F&N Beverage Marketing Sdn. Bhd., Leong Wai Yin.
Menurut Zii Jia, dia kini berada di kedudukan No. 6 dalam ranking Jelajah Dunia dan penyertaannya pada pertandingan di Eropah tersebut amat penting bagi melayakkan dirinya ke kejohanan berprestij itu.
“Walaupun saya ditimpa pelbagai kecederaan, saya akan tetap bermain dalam semua kejohanan, kalau tengok ranking saya berada di kedudukan No. 6 (ranking Jelajah Dunia),” ujarnya.
Ketika ditanya pula mengenai jurulatihnya, Wong Tat Meng yang pernah menyuarakan hasrat untuk bersara selepas Olimpik, pemain berusia 26 tahun itu menjelaskan, buat masa ini, tiada apa-apa yang berubah dan sekiranya ada perubahan pihaknya akan maklumkan nanti.
Mengulas pula mengenai insentif yang diterimanya, Zii Jia berkata, sebagai pemain profesional, sokongan yang diberi 100Plus amat penting.
“Walaupun saya telah meninggalkan BAM (Persatuan Badminton Malaysia), 100Plus tetap menyokong saya dan sebagai pemain profesional, keputusan amat penting bagi menarik penajaan, saya amat menghargai pemberian insentif ini,” tambahnya. – UTUSAN