Young Tigers mampu lakar kejutan

Young Tigers mampu lakar kejutan

Skuad Young Tigers akan berdepan New Zealand dalam aksi pembukaan Piala Sultan Johor (SOJC) 2024, malam ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Barisan kejurulatihan pasukan hoki remaja kebangsaan optimis mampu melakar kejutan pada kejohanan Piala Sultan Johor (SOJC) 2024 yang akan membuka tirai saingannya, malam ini.

Ketua jurulatih kebangsaan, I. Vikneswaran berkata, pemain Young Tigers memenuhi ‘permintaan’ barisan kejurulatihan sepanjang latihan dan aksi persahabatan yang telah dijalankan baru-baru ini.

“Mereka (Young Tigers) memenuhi apa yang dikehendaki dalam proses latihan dan perlawanan persahabatan sebelum ini. Mereka mengikuti perancangan kami dari segi pergerakan bola, bagaimana mahu tackle dan juga skil individu dan pasukan.

“Keserasian mereka semakin bertambah baik. Kami juga tekankan kepada mereka kepada skil pasukan berbanding skil individu untuk mencapai satu tahap proses yang lebih baik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Isnin lalu, Young Tigers berjaya menewaskan New Zealand 2-1 pada aksi persahabatan pertama sebelum berjaya menundukkan Great Britain 1-0 pada Rabu.

Dalam pada itu, Vikneswaran berkata beliau mengambil keputusan yang tepat untuk membatalkan perlawanan persahabatan yang terakhir menentang India, kelmarin.

Hal ini kerana, pengendali berusia 51 tahun itu enggan mengambil risiko susulan beberapa anak-anak buahnya yang kurang sihat dan cedera.

“Pemain pertahanan, Aqil Danial Mat Ruslee perlu dijahit kerana mengalami kecederaan mulut akibat di siku oleh pemain Great Britain semasa perlawanan persahabatan.

“Naaveennash Panicker, Disairul Fazrien Nazrien dan Yadiy Saifuddin telah dikuarantin kerana selsema dan demam.

“Bagaimanapun, saya memberi jaminan mereka semua akan pulih untuk perlawanan esok (hari ini) menentang New Zealand,” katanya.

Young Tigers dijadualkan akan bertemu New Zealand pada pukul 8.35 malam ini sebelum membuat perhitungan dengan Jepun esok pada waktu yang sama.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya