TFC tidak perlu tergesa-gesa cari pengganti Steinbruckner - Utusan Malaysia

TFC tidak perlu tergesa-gesa cari pengganti Steinbruckner

TOMISLAV STEINBRUCKNER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) tidak perlu tergesa-gesa mencari ketua jurulatih baharu menggantikan Tomislav Steinbruckner, yang melepaskan jawatan, semalam.

Sebaliknya, peluang harus diberikan kepada pengendali sementara, Badrul Afzan Razali, untuk membimbing skuad Penyu bermula aksi Liga Super bertemu PDRM di laman sendiri, Jumaat ini.

Presiden Kelab Penyokong Bolasepak TFC, Mohd. Isa Che Ariffin berkata, pengganti Steinbruckner tidak boleh dibuat tangkap muat tetapi harus diteliti termasuk kemampuan jurulatih sedia ada.

Menurutnya, barisan pemain juga perlu mengambil tanggungjawab atas kemerosotan prestasi TFC dan tidak boleh meletakkan kesalahan di bahu barisan kejurulatihan.

“Berdasarkan prestasi, persembahan TFC merosot sejak tumpas kepada Selangor di peringkat separuh akhir Piala FA, dua bulan lalu, dan seolah-olah timbul masalah dalaman pasukan.

“Secara peribadi, saya lihat pemain tidak ‘sebulu’ dengan jurulatih (Steinbruckner) tetapi harapnya bukan itu perkara sebenar yang berlaku sehingga membawa kepada kejatuhan prestasi TFC.

“Buat masa ini, Badrul Afzan wajar diberi peluang membuktikan kemampuan seperti mana TFC menilai Nafuzi Zain selepas peletakan jawatan Irfan Bakti (Abu Salim) pada 2019.

“Usah bazirkan kebolehan jurulatih tempatan jika benar-benar layak melatih pasukan ini sebelum mencari calon lain termasuk calon pengendali import,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Badrul Afzan disahkan menjadi pengendali sementara dibantu Hairuddin Omar susulan ketiadaan Steinbruckner yang melepaskan jawatan bersama pembantu jurulatih, Ivica Vranjes dan Hrvoje Bradasic.

Mohd. Isa menyifatkan apa jua keputusan pihak pengurusan disokong sekiranya langkah itu demi kepentingan pasukan bagi meningkatkan prestasi dalam aksi domestik dan Kejuaraan Kelab Asean (ACC).

“Penyokong cuma berharap Badrul Afzan dan Hairuddin bekerja lebih keras bersama pemain untuk mengembalikan maruah pasukan serta keyakinan penyokong TFC.

“Jadikan pertemuan dengan PDRM sebagai permulaan untuk bangkit kerana perjalanan Liga Super masih panjang dan TFC masih berpeluang mara dalam saingan ACC,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya