Terengganu, Young Tigress juara Piala Tun Abdul Razak

Terengganu, Young Tigress juara Piala Tun Abdul Razak

TERENGGANU muncul juara Piala Tun Abdul Razak 2024 apabila berjaya menumpaskan Johor 2-1 di Stadium Hoki Johor, semalam.-IHSAN KHM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Terengganu dan Young Tigress merangkul gelaran hoki lelaki serta wanita selepas mengetepikan lawan masing-masing pada perlawanan akhir Piala Tun Abdul Razak 2024 di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, Johor Bahru, Johor, kelmarin.

Pasukan dari Pantai Timur tanah air itu menghampakan tuan rumah, Johor di hadapan penyokong sendiri menerusi kemenangan 2-1.

Dua gol Terengganu diledakkan oleh Muhammad Adam Haiqal Abdul Razak (minit ke-36) dan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi (minit ke-43), manakala, jaringan tunggal Johor disempurnakan Muhammad Faris Ros Fadillah (minit ke-26).

Kemenangan yang diraih Terengganu menyaksikan mereka membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM30,000 berserta trofi yang merupakan gelaran ketiga pada kejohanan itu selepas berbuat demikan pada 2012 dan 2016.

Tonggak kebangsaan, Faizal Saari muncul selaku penjaring terbanyak kejohanan selepas meledakkan 19 gol untuk Terengganu.

Sementara itu, dalam perlawanan hoki wanita, skuad remaja kebangsaan, Young Tigress menjulang kejuaraan sulung pada kejohanan itu selepas menewaskan naib juara edisi lalu, Selangor 2-1.

Dua gol kemenangan skuad bimbingan Lailin Abu Hassan itu diledakkan oleh Nur Iman Adawiyah Mohd Suhaimi (minit ke-18 dan ke-44), manakala, jaringan sagu hati Selangor dihasilkan menerusi Qumyra Allysyia Iman Mohd Rizal (minit ke-48).

Namun begitu, kejayaan yang diukir Young Tigress itu masih belum mampu memujuk hati ketua jurulatih, Lailin untuk mudah berpuas hati dengan pencapaian anak-anak buahnya pada kejohanan tersebut.

“Kami menang perlawanan ini, ia sesuatu yang positif, tetapi, kami masih belum mencapai standard yang dimahukan.

“Banyak kerja yang yang perlu dibuat sebaik kami pulang nanti, terutama tindakan penyudah pukulan sudut penalti kami,” katanya ketika ditemu bual selepas perlawanan berakhir.

Menurut beliau, anak-anak buahnya perlu melipat gandakan usaha dan mereka masih mempunyai masa untuk memperbaiki kelemahan sebelum Piala Remaja Asia di Muscat, Oman, bulan depan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya