LONDON: Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag yakin pihak pengurusan masih memberi keperayaan kepadanya untuk mengemudi The Red Devils biarpun mengharungi permulaan musim yang hambar ketika ini.
United seri 0-0 dengan Aston Villa semalam dan menghuni tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan hanya meraih dua kemenangan daripada sembilan perlawanan dalam semua pertandingan musim ini.
Pemilik bersama Jim Ratcliffe, Ketua Pegawai Eksekutif, Omar Berrada, pengarah sukan, Dan Ashworth serta pengarah teknikal, Jason Wilcox turut hadir menyaksikan perlawanan di Villa Park yang dikatakan penentu masa depan Ten Hag di Old Trafford.
“Kami masih di landasan yang sama, sehaluan, kami tahu apa yang sedang diusahakan dan ini adalah sebahagian proses yang panjang. Kami baru sahaja mengharungi dua perlawanan sukar di tempat lawan.
“Ini adalah sebuah pasukan yang baik dan mempunyai harapan, kami menunjukkan keyakinan dan kepercayaan yang kami ada sebagai sebuah pasukan,” kata Ten Hag yang mana pasukan bimbingannya turut seri 3-3 dalam aksi Liga Europa di Porto sebelum ini.
Sekiranya menang ke atas Porto dan Aston Villa, nasib Ten Hag di Old Trafford pastinya terjamin, namun dengan keputusan yang tidak menggembirakan penonton itu, ia akan menguatkan lagi desakan agar United dibimbing pengurus baharu.
Dalam aksi menentang Villa, kapten United, Bruno Fernandes hampir memecah kebuntuan dengan sepakan percuma di babak kedua, namun terkena palang selain percubaan Marcus Rashford dinafikan penjaga gol, Emi Martinez.
“Kami mencipta banyak peluang dalam tujuh perlawanan di Liga Perdana Inggeris tetapi kami perlu meningkatkannya.
“Kita perlu mengambil kira kepulangan (penyerang Rasmus) Hojlund, dia masih belum mencapai tahap kecergasan penuh. Yang lain-lain juga sedang meningkat.
“Saya kagum dengan Rashford, juga (Alejandro) Garnacho yang sangat bagus dan Antony di akhirnya,” tambah pengendali dari Belanda itu.
Aksi Liga Perdana Inggeris akan bersambung pada 19 Oktober untuk rehat perlawanan antarabangsa, dan spekulasi berkenaan masa depan Ten Hag akan terus diperkatakan, terutama menjelang mesyuarat bulanan kelab di London hari ini. – AGENSI/UTUSAN