PETALING JAYA: Pasangan beregu professional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani melakar kemenangan hatrik tahun ini apabila menjuarai Terbuka Artik, sebentar tadi.
Juara Terbuka China dan Terbuka Jepun itu mempamerkan kebangkitan untuk menumpaskan pasangan No.2 dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 15-21, 21-15, 21-19.
Sze Fei-Izzudin yang berada di ranking ke-8 dunia tewas di set pertama, namun mereka berjaya bangkit dan menang dua set berikutnya untuk burgelar juara dan membawa pulang RM142,282.
Ini adalah kemenangan kedua, Sze Fei-Izzudin ke atas Astrup-Rasmussen dari lapan pertemuan yang mana pertemuan terakhir mereka menyaksikan gandingan negara itu tewas 19-21, 17-21 di peringkat suku akhir di Malaysia Masters pada Mei lalu.
Sze Fei-Izzudin ketika ini bergerak secara profesional selepas meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 1 September lalu.- UTUSAN