PETALING JAYA: Presiden baharu Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar akan mengadakan pertemuan secepat mungkin dengan pemain-pemain Kuala Lumpur (KL) City bagi memujuk mereka untuk kekal bersama kelab itu.
Tindakan pantas itu mahu diambil Syed Yazid selepas mendapat berita mengenai kemungkinan beberapa pemain KL City akan meninggalkan pasukan bagi menyertai pasukan lain susulan isu tunggakan gaji yang membelenggu skuad The City Boys sejak awal musim ini.
Syed Yazid mengakui beliau akan cuba sebaik mungkin bagi menyelesaikan masalah tunggakan gaji, selain memujuk pemain bagi meyakinkan mereka untuk tidak keluar daripada pasukan.
“Kebanyakan pemain sudah mengenali saya sejak 2017 dan selepas ini saya akan pujuk mereka dan akan berjumpa mereka dalam kadar segera untuk memastikan pemain kekal bersama KL City.
“Saya mahu mereka bersabar kerana kita dalam proses menyelesaikan isu tunggakan gaji dan saya mula bekerja hari ini terutama isu kewangan dan ianya akan menjadi tugas utama saya sebagai presiden.
“Namun begitu, saya perlu tengok dulu segala tunggakan gaji sebab ikutkan saya tidak tahu lagi berapa jumlah tunggakan gaji dan sebagainya, jadi saya perlu tengok dahulu dokumen yang ada,” katanya.
Kelmarin, Syed Yazid sah dilantik Presiden baharu KLFA selepas memenangi pemilihan dalam Kongres kali ke-35 dengan menewaskan pencabar yang juga Pemangku Presiden sebelum ini, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.
Dalam perkembangan sama, Syed Yazid turut memberitahu bahawa beberapa penaja bakal menyertai pasukan pengurusannya untuk sama-sama berganding bahu menaikkan semula nama KL City.
Katanya, dia mempunyai pelan untuk memastikan isu kewangan tidak berulang dengan sudah menerima beberapa tawaran dari pelbagai pihak yang menyatakan minat.
“Sebenarnya sebelum saya dilantik menjadi presiden, saya sudah menyusun pelan apa yang akan dilakukan dan setakat dua minggu ini, saya ada terima tawaran dari agensi kerajaan dan swasta untuk menaja KL City sekiranya saya menang jawatan presiden dan ini adalah perkembangan yang baik,” ujarnya.-UTUSAN