PETALING JAYA: Perak FC mahu memanfaatkan aksi di gelanggan sendiri menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, petang ini dengan sasaran meraih tiga mata penuh.
Pertembungan ini juga boleh dianggap sebagai pertarungan menebus maruah selepas kedua-dua pasukan menerima nasib sama Sabtu lalu dengan Perak tewas 2-4 kepada Sabah di Manjung, manakala TFC pula tumbang 0-1 kepada Kedah Darul Aman (KDA) di Alor Setar.
Skuad Bos Gaurus sudah pasti enggan dimalukan buat kali kedua berturut-turut di halaman sendiri manakala Sang Penyu pula tidak mahu pulang hampa.
Pengendali Perak, Yusri Che Lah menegaskan kesilapan sendiri menjadi punca mereka tewas ditangan Sabah pada minggu lalu dan ia memberi pengajaran berguna kepada pasukan untuk bangkit dalam aksi menentang TFC.
“Kami perlu menilai kembali kekalahan itu untuk melihat di mana kami sebenarnya dan kami bukan pasukan yang begitu kuat.
“Namun, kami perlu berada dalam lingkungan lapan terbaik sebelum pusingan pertama berakhir,” kata Yusri.
Jika rekod pertemuan menjadi ukuran, ia lebih memihak kepada Terengganu yang mana pasukan dari Pantai Timur itu tidak tewas kepada Perak dalam lapan pertembungan terakhir sejak 2021.
Pada dua pertembungan musim ini juga, skuad Penyu mengatasi Perak 3-1 dalam aksi Liga Super sebelum menyingkirkan Bos Gaurus di pusingan pertama Piala FA dengan keputusan 2-1.
Bagaimanapun, rekod itu tidak boleh dijadikan jaminan untuk skuad kendalian Badrul Afzan Razali meneruskan rekod kemenangan ke atas Perak ketika mereka berada dalam prestasi kurang baik.
TFC gagal meraih kemenangan dalam tujuh perlawanan terakhir mereka membabitkan lima aksi Liga Super dan dua aksi Kejuaraan Kelab ASEAN.
Meskipun berada di kedudukan ketiga, namun TFC berkongsi 17 mata bersama pasukan tangga keempat, Sabah selain hanya berbeza satu mata dengan PDRM (kelima) dan dua mata di depan Perak (keenam) serta Kuching City (ketujuh).
Kali terakhir skuad Penyu meraih kemenangan ketika menewaskan KL City 2-0 dalam aksi liga, 10 Ogos lalu sebelum pengendalinya, Tomislav Steinbruckner meninggalkan pasukan itu pada awal bulan ini.-UTUSAN