KUALA NERUS: PDRM FC optimis dapat terus menempatkan diri bersama pasukan kelompok atasan selepas melonjak ke tangga kelima menuju pusingan kedua Liga Super.
Pengendalinya, P. Maniam, berkata, beliau mengambil alih skuad The Cops musim ini dengan misi membaiki kedudukan diraih pada 2023 iaitu tempat kelapan daripada 14 pasukan.
Menurut jurulatih berpengalaman itu, prestasi semasa PDRM FC membuktikan skuad kendaliannya bukan sekadar pelengkap sebaliknya muncul sebagai pasukan ‘giant killer’ musim ini.
“Awal musim ini kami bermula perlahan dari bawah tetapi barisan pemain dan pihak pengurusan bekerja keras untuk meningkatkan prestasi pasukan sehingga kini.
“Saya lihat PDRM FC sudah semakin baik dan berjaya mengutip mata penting dari pasukan gergasi malangnya kami keciciran mata ketika bertemu pasukan di tangga bawahan.
“Saingan liga ibarat perlumbaan marathon dan banyak lagi yang harus dibaiki terutama benteng pertahan tetapi saya yakin PDRM FC boleh berada di kedudukan lima atau enam terbaik,” katanya ketika ditemui semalam.
Maniam yang juga bekas pengendali Selangor dan PJ City FC berkata demikian selepas anak-anak buahnya mengutip satu mata ketika seri 1-1 dengan Terengganu FC (TFC), malam tadi.
Keputusan itu menyaksikan PDRM FC terus mencuri mata dari pasukan pilihan setelah berjaya mengalahkan Perak, KL City FC dan Sabah selain mengikat Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum ini.
Mengulas lanjut perlawanan dengan TFC, Maniam berkata, percaturannya menukar taktikal dengan kemasukan pemain import, Kyaw Min Oo, membantu PDRM mengutip mata berharga dari tempat lawan. – UTUSAN