PORTO: Erik ten Hag merayu diberi peluang sehingga ke akhir musim ini selaku pengurus Manchester United selepas pasukannya mengikat kedudukan 3-3 dengan Porto FC dalam saingan Liga Europa pagi ini.
Sebelum berkunjung ke Portugal, dia berdepan tekanan selepas pasukannya hanya mencatat dua kemenangan daripada enam perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris dan menghuni di tangga ke-13 kedudukan carta.
Dalam saingan Eropah, Red Devils juga seri dalam dua perlawanan pembukaan dan menghuni di tangga ke-21.
“Kami akan sampai di sana (hujung musim) dan jangan menilai kami pada masa sekarang tetapi ukur kami pada penghujung musim. Dalam musim lalu kami berjaya ke final. Kami akan bertambah baik dan meningkat,” katanya.
Ten Hag sebelum ini berkeras mempertahankan pencapaiannya dalam musim awal bersama United apabila memenangi Piala Liga dan Piala FA sekali gus menamatkan kemarau enam tahun tanpa trofi.
Kejayaan menewaskan Manchester City dalam perlawanan akhir Piala FA musim lalu telah menyelamatkan kariernya di Old Trafford walaupun United menghuni tangga kelapan dalam saingan Liga Inggeris. – AFP/UTUSAN