ISTANBUL: Pengurus Fenerbahce, Jose Mourinho dengan sinis mengucapkan tahniah kepada pengadil yang mengeluarkannya selepas pasukannya seri 1-1 menentang Manchester United dalam aksi Liga Europa semalam.
Tuan rumah memastikan satu mata berharga menjadi milik mereka selepas Youssef En-Nesyri menjaringkan gol penyamaan pada babak kedua sekali gus menafikan gol Christian Eriksen.
Bagaimanapun, Mourinho mencuri tumpuan apabila dilayangkan kat merah pada babak kedua selepas pertikaiannya dengan pengadil perlawanan, Clement Turpin.
“Pengadil memberitahu saya sesuatu yang luar biasa. Dia berkata pada masa yang sama dia boleh melihat apa yang berlaku dalam kotak penalti dan tingkah laku saya di tepi padang.
“Saya ucapkan tahniah kepadanya kerana dia benar-benar luar biasa. Semasa perlawanan, dia mempunyai satu mata pada situasi penalti dan satu mata untuk melihat tingkah laku saya di bangku simpanan.
“Itulah sebabnya dia adalah salah satu pengadil terbaik di dunia,” kata Mourinho.
Jurulatih dari Portugal itu turut menghamburkan pujian kepada anak-anak buahnya selepas melihat mereka beraksi dengan cemerlang berbanding aksi sebelum ini.
“Kami bermain dengan hebat. Jika kami bermain seperti ini dalam liga Turki, kami akan menghancurkan segalanya kerana sudah tentu kami bermain menentang pasukan yang mempunyai tahap yang lebih tinggi daripada kami.
“Kami mengalami kecederaan. Kami terpaksa melakukan rombakan. Persembahan kami sangat luar biasa. Saya tidak boleh meminta lebih daripada pemain.
“Saya tahu media Inggeris akan mengatakan United tidak bermain dengan baik tetapi saya fikir adalah adil untuk mengatakan kami melakukan perlawanan yang luar biasa dan kami lebih baik daripada mereka. Keputusan yang baik untuk United,” kata Mourinho. – AGENSI