KUALA LUMPUR: Mejar (B) S. Maniam bakal melepaskan jawatannya selaku Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), hujung tahun ini selepas berkhidmat selama lebih 40 tahun dalam sukan skuasy di negara ini.
Tempat yang ditinggalkan beliau akan diisi oleh Andrew Cross yang sebelum ini merupakan penolong jurulatih skuad kebangsaan, manakala, bekas pemain kebangsaan Shahril Shahidan akan menggalas tugas sebagai ketua jurulatih.
Ajaz Azmat pula yang merupakan ketua jurulatih pada ketika ini akan beralih tugas sebagai jurulatih berprestasi tinggi.
Namun begitu, Maniam, 70, yang mula berkhidmat bersama SRAM sebagai penolong jurulatih pada 1986 akan memainkan peranan baharu selaku penasihat bermula Januari tahun depan.
“Perasaan saya bercampur baur, tetapi, saya telah cukup lama berkhidmat sebagai pemain dan jurulatih iaitu selama lebih 40 tahun.
“Saya akan terus berbakti bersama SRAM sebagai penasihat dan Andrew pula akan mengisi kekosongan tempat yang ditinggalkan saya.
“Saya telah mengenali Andrew cukup lama, beliau seorang yang berkeyakinan tinggi dan sudah tentu mampu membawa skuasy Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SRAM dekat sini, semalam.
Maniam yang pernah berkelana selama 14 tahun berkhidmat sebagai jurulatih di India sebelum kembali ke tanah air pada 2016 memberitahu, cabaran skuasy pada hari ini jauh lebih besar selepas sukan itu dipertandingkan pada Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Menurut beliau, peranannya sebagai penasihat bermula Januari tahun depan amat penting bagi memastikan proses peralihan jawatan dapat dilaksanakan dengan baik.
“Saya berharap perubahan dapat dilakukan dalam permainan agar para pemain kita dapat mengharungi cabaran pada masa akan datang dengan Ajaz yang akan memberi fokus kepada Sivasangari, Ng Eain Yow serta Aifa dan Aira Azman yang berada di dalam program Fast Track Road To Gold,” ujarnya.-UTUSAN