MANCHESTER: Manchester United telah mengumumkan perpisahan dengan ketua jurulatihnya, Erik Ten Hag berkuat kuasa serta merta, hari ini.
Kelab itu dalam satu kenyataan berkata, Ruud Van Nistelrooy akan mengambil alih pasukan sebagai ketua jurulatih sementara sebelum ketua jurulatih baharu dilantik.
“Erik Ten Hag telah meninggalkan peranannya sebagai pengurus Manchester United.
“Ruud Van Nistelrooy akan mengambil alih pasukan sebagai jurulatih sementara, dibantu barisan kejurulatihan sedia ada, manakala ketua jurulatih tetap diambil,” umum United, hari ini.
Pengurusan The Red Devils turut mengucapkan terima kasih atas segala usaha bakti Ten Hag sepanjang membimbing pasukan sejak April 2022.
“Kami berterima kasih kepada Erik atas segala yang telah dilakukannya sepanjang bersama kami dan mengharapkan yang terbaik untuk masa depannya,” kata United.
Ten Hag dilantik pada April 2022 dan membawa kelab memenangi dua trofi domestik, memenangi Piala Carabao pada 2023 dan Piala FA pada 2024.
United mengalami kekalahan keempat semalam di tangan West Ham, sekaligus menyebabkan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) 20 kali itu berada di tangga ke-14.
Tugasan pertama Nistelrooy sebagai pemangku ketua jurulatih ialah bertemu Leicester City pada Khamis ini dalam saingan EPL.-AGENSI