Malucelli ‘jajah’ Sarawak lagi

Malucelli terus takluk Sarawak

Pelumba JCL Team Ukyo, Matteo Malucelli memenangi peringkat kelapan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 di Bintulu, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BINTULU: Pelumba JCL Team UKYO, Matteo Malucelli membuktikan beliau berada dalam kelas tersendiri selepas berjaya menakluk Bintulu buat kali kedua pada perlumbaan peringkat terakhir Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024, semalam.

Pelumba kelahiran Itali itu berkata, pecutan terakhirnya pada laluan sejauh 147.4 kilometer (km) itu sudah berjaya menebus kembali kesilapan yang mengakibatkan beliau tercicir jauh pada peringkat keempat dari Kuala Kubu Bharu ke Bentong.

“Saya melakukan segala-galanya dengan sempurna. Saya di belakang De Kleijn (Arvid) ketika beliau memecut. Saya sudah melakukan beberapa kesilapan sejak peringkat keempat.

“Apa yang saya lakukannya, hanya lompat masuk ke peloton dan memecut sehingga ke garisan penamat,” kata Malucelli kepada pemberita sejurus tamat perlumbaan peringkat kelapan, di Bintulu, semalam.

Malucelli muncul juara buat kedua kalinya di Bintulu selepas kejayaannya di peringkat ketujuh (Miri-Bintulu) dengan catatan 3:07.38 saat (s) memintas pencabar terdekat dari Tudor Pro Cycling, De Kleijn manakala pelumba Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa di carta ketiga.

Pelumba Team dsm-firmnenich PostNL, Max Poole seperti dijangka muncul juara keseluruhan LTdL 2024 apabila berjaya mengekalkan Jersi Hijau sejak dari peringkat Kketiga dari Taiping ke Cameron Highlands sehingga ke peringkat kelapan yang juga kemuncak bagi edisi ke-28 di Bintulu, semalam.

Pelumba BH-Burgos, Mario Aparicio berjaya menyarungkan Jersi Polka Dot (Raja Bukit) selepas mengumpul 27 mata diikuti Poole (22 mata) dan Anthon Charmig dari Astana Qazaqstan Team (12 mata).

Rakan sepasukan Malucelli, Manabu Ishibashi pula meraih Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia dengan catatan keseluruhan 26:30:02s diikuti seorang lagi rakan sepasukannya, Yuma Koishi 2:41s dan kedudukan ketiga diisi Keigo Kusaba (Aisan Racing Team) 2:45s.

Sementara itu, Equipo Kern Pharma muncul juara keseluruhan pasukan 79:24:12s, menewaskan pasukan berstatus WorldTeam, Astana Qazaqstan Team (1:31s) diikuti di carta ketiga, Team Polti Kometa.

Dalam pada itu, Malaysia Pro Cyling (MPC) mengukir senyuman buat peminat sukan berbasikal apabila berjaya muncul selaku pasukan ketiga terbaik Asia pada penampilan sulung di perlumbaan berkenaan dengan mengumpul 79:58:46s.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya