BINTULU: Percaturan menaruhkan pelumba basikal bukit pada Le Tour de Langkawi 2024 membuahkan hasil yang positif untuk Malaysia Pro Cycling (MPC).
Biarpun gagal mencapai sasaran untuk menjadi pasukan Asia terbaik pada perlumbaan berprestij Asia terbabit, Pengarah Sukan MPC Sayuti Zahit berkata, pencapaian menjadi No. 3 terbaik Asia sudah menunjukkan satu peningkatan buat pasukan terbabit.
“Alhamdulillah untuk perlumbaan ini. Walaupun kita menyasarkan untuk No. 1 Asia, namun kita nampak ada beberapa kekurangan dan kita bersyukur biarpun kita mula dengan enam pelumba dan mengakhiri dengan empat pelumba. Itu satu pencapaian agak bagus kepada pelumba basikal bukit kita.
“LTdL ini kita tahu ia sukar dengan jalan yang macam ini (jauh). Berdasarkan pemantauan dan membuat analisis melihat mereka mampu galas cabaran utama, cuma tidak mencapai sasaran.
“Perkara ini mampu menjadi pengalaman yang berguna untuk mereka semua,” kata Sayuti kepada pemberita sejurus tamat perlumbaan peringkat kelapan di Bintulu, kelmarin.
MPC muncul sebagai pasukan ketiga keseluruhan Asia dengan catatan 79:58:46 saat (s) manakala juara menjadi milik JCL Team UKYO (79:35:36s) dan carta kedua diraih oleh pasukan kebangsaan Thailand (79:58:24s).
Sementara itu, Sayuti berkata, beliau mahu ‘mengasah’ lagi bakat anak-anak buahnya yang bermain berbasikal bukit dan mahu memperbaiki kelemahan mereka untuk kejohanan musim depan.
“Sekarang kita hanya menumpu kepada satu perkara iaitu tidak akan duduk diam. Kita akan memperbaiki dan melihat kelemahan kita dan cuba untuk mempertingkatkan prestasi tahun depan,” katanya. – UTUSAN