BUTTERWORTH: Pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Muhammad Syawal Mazlin memasang impian untuk menakluki kampung halamannya di Cameron Highlands pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) peringkat ketiga dari Taiping ke Cameron Highlands, hari ini.
Beliau yang berasal dari Brinchang itu, optimis dapat mencipta kejutan susulan sudah biasa dengan laluan sejauh 170.3 kilometer (km) terbabit.
“Kita akan lihat keadaan esok (hari ini) sebab esok ada tiga zon pendakian iaitu satu di Sungai Siput dan dua di Cameron Highlands.
“Mungkin kami akan lihat team profesional dan ‘world tour’ sebab kita akan tahu mereka akan ada strategi untuk berada kedudukan teratas untuk merangkul Jersi Polka Dot.
“Jadi kita akan lihat strategi mereka esok (hari ini),” kata Syawal kepada pemberita sejurus tamat perlumbaan peringkat kedua dari Arau ke Butterworth, di sini, semalam.
Ditanya mengenai penampilan sulungnya di LTdL 2024, semangat pelumba berusia 20 tahun itu kian membara susulan tiga zon pendakian yang menjadi buruannya pada perlumbaan peringkat ketiga, hari ini.
“Sasaran sebenarnya untuk mendapat keputusan positif (tiga zon pendakian). Laluan itu saya sudah biasa cuma pertengahan dari Taiping hingga Simpang Pulai itu dia laluan landai,” katanya.
Dalam pada itu, Syawal meluah rasa bersyukur berikutan insiden kemalangan melibatkan ramai pelumba mengalami kecederaan ringan.
“Saya ada cedera tetapi cuma luka sikit. Ada perlanggaran dekat garisan penamat, namun kami bersyukur kerana pelumba pendaki kami selamat menamatkan perlumbaan,” ujarnya.
Syawal bersama kapten MPC, Muhammad Zawawi Azman, Zulfikri Zulkifli serta Muhammad Fahmi Khairul merupakan pelumba mendaki yang memburu gelaran sebagai Raja Bukit di laluan peringkat ketiga dari Taiping ke Cameron Highlands, hari ini.